Artikel Terkini

Johor umum insentif kepada penggiat sektor pelancongan



KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020 lalu telah menyebabkan sektor pelancongan lumpuh pada skala global akibat daripada penurunan jumlah ketibaan pelancong asing dan domestik.

Pengusaha premis penginapan seperti hotel dan inap desa, syarikat dan ejen pelancongan, pemandu pelancong, serta industri sokongan lain kini turut mengalami kesukaran dalam memastikan pusingan aliran tunai mereka kekal terjamin.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, kerajaan negeri Johor sedar bahawa penggiat industri pelancongan begitu terkesan dengan pembatalan tempahan hotel serta pakej pelancongan.

“Justeru, Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan ingin mengumumkan insentif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Negeri Johor bagi meringankan beban yang dihadapi oleh industri pelancongan negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Antara insentif itu adalah:

a) Pemberian insentif one-off  RM1,000 kepada 936 pemandu pelancong berlesen yang menetap di Johor  yang melibatkan peruntukan sebanyak RM936,000.

b) Pengecualian bayaran lesen perniagaan kepada pemilik syarikat pelancongan dan hotel bagi tahun 2020, melibatkan peruntukan sebanyak RM894,211 yang memberi manfaat kepada 1,031 pemegang lesen perniagaan.

c) Pengecualian bayaran duti hiburan bagi taman tema dan pusat hiburan keluarga bagi tahun 2020, yang melibatkan nilai RM3 juta.

Tambah Onn, pihaknya masih dalam proses merangka strategi jangka pendek dan panjang bagi memulihkan serta mengembalikan daya saing industri pelancongan Johor pasca COVID-19.

“Diharapkan agar segala insentif yang telah diumumkan akan membantu penggiat industri pelancongan, serta mampu meningkatkan semula pencapaian sektor pelancongan dan perkhidmatan di Johor kelak,” katanya.





Source link

Related Posts