Artikel Terkini

Jualan kenderaan turun 62 peratus pada Mei 2020 – MAA



KUALA LUMPUR: Jualan kenderaan di Malaysia merosot sebanyak 62 peratus kepada 22,960 unit pada Mei 2020 daripada 60,760 unit pada bulan sama tahun lepas.

Dalam kenyataan hari ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata jumlah jualan yang rendah itu berikutan sentimen pengguna yang berhati-hati dan hakikat bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia yang hanya menyambung semula pendaftaran kereta penumpang baharu bermula 13 Mei.

MAA berkata pengeluaran turut susut kepada 12,286 unit pada bulan tersebut berbanding 51,454 unit pada Mei 2019.

“Jumlah jualan pada Jun 2020 akan lebih tinggi daripada Mei 2020 berikutan perniagaan yang disambung semula selepas menarik balik sekatan untuk kebanyakan aktiviti ekonomi.

“Kehadiran ke bilik pameran kereta turut meningkat selepas pengumuman kerajaan mengenai pengecualian cukai jualan,” katanya.

— BERNAMA





Source link

Related Posts