Artikel Terkini

Juruteknik hospital jadi penggembala kambing berjaya



81581716776 KambingPenternak - Juruteknik hospital jadi penggembala kambing berjaya

KOTA BHARU: Menyedari potensi dalam bidang penternakan yang semakin berkembang, seorang juruteknik di sebuah hospital di sini, memilih menjadi penggembala kambing sebagai pekerjaan sampingan menambah pendapatan.

Biarpun ada segelintir yang memberi persepsi negatif dan memandang rendah terhadap kerja penternakan yang tidak glamor, namun Mohd Sufian Aziz, 34, tidak kecil hati dan meneruskan usahanya sehingga kini berjaya memiliki 20 ekor kambing.

Beliau berkata minatnya terhadap bidang penternakan bermula apabila bapanya, Aziz Malek, 50, seorang penternak lembu, mengajaknya untuk membantu.

“Saya bermula dengan bermodalkan wang simpanan sendiri sekitar RM5,000 untuk membina kandang dan membeli tiga ekor kambing dua tahun lepas bagi memulakan perniagaan ini.

“Namun kini, Alhamdulillah saya sudah memiliki 20 ekor kambing baka Boer dan sentiasa mendapat permintaan penduduk kampung termasuk untuk dijadikan akikah yang dijual sekitar harga RM600 hingga RM800,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kandang kambingnya di Kampung Baung, Pengkalan Chepa di sini, pada Jumaat.

Mohd Sufian, yang berkelulusan dalam bidang pendingin hawa Institut Kemahiran Mara (IKM) Sik, Kedah, berkata bidang penternakan mampu memberi pulangan lumayan sekiranya ia dilakukan dengan tekun dan menggunakan ilmu yang betul.

“Saya banyak menimba ilmu penternakan kambing ini dengan menyertai kumpulan ‘Kelab Penternak Anak Kelate’ di laman sosial Facebook.

“Masalah kesihatan kambing dapat diatasi menggunakan perkongsian ilmu ahli-ahli kelab yang berkongsi cara mengatasi demam, kurang selera dan sebagainya,” katanya yang telah memperoleh keuntungan sebanyak RM8,000 hasil jualan 10 ekor kambing setakat ini.

Bapa kepada dua anak itu berkata, bagi mengelakkan ternakan dijangkiti penyakit yang boleh menyebabkan kematian termasuk penyakit kuku dan mulut, dia mendapatkan khidmat suntikan daripada pihak veterinar sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan sekali.

“Namun, sejak tahun lepas saya mula mempelajari ilmu suntikan dengan pihak veterinar dan kini saya hanya menyuntik sendiri haiwan ternakan dengan mendapatkan bekalan vitamin daripada veterinar yang dijual pada harga RM60 untuk kegunaan 10 hingga 15 ekor kambing.

“Untuk makanan, selain memberi dedak sebanyak sekilo sehingga dua kilogram setiap hari, saya juga akan memberi seguni rumput sebagai makanan harian,” katanya.

— BERNAMA





Source link