Artikel Terkini

Kad ATM Peminjam Ah Long Digunakan Sindiket Judi Online


Gagal merancang kewangan dengan bijak akan menjerat seseorang ke kancah pinjaman Ah Long. Mana taknya, apabila kita kesempitan wang dan tidak layak untuk meminjam daripada mana-mana institusi bank; pastinya kita akan lebih mudah untuk terjerat dengan kata-kata manis Ah Long.

Menurut kes yang pernah dilaporkan, mangsa Ah Long sendiri tidak tahu mereka membuat pinjaman dengan Ah Long kerana sindiket itu berurusan dengan cara yang amat profesional dan tidak meragukan. Namun, sedikit demi sedikit masalah berlaku selepas beberapa hari meminjam.

Kes kekejaman Ah Long semakin menjadi-jadi dan ianya melibatkan setiap lapisan masyarakat, tidak kira warga tua atau tua, yang berpendidikan tinggi atau sebaliknya. Semuanya pasti diburu walaupun pinjaman hanyalah serendah RM1,000 saja.

Ah Long Mengambil Kad ATM Peminjam

Membongkar kes sindiket Ah Long, rupa-rupanya Ah Long juga berkait rapat dengan pusat perjudian internet atau judi online yang semakin berleluasa. Judi online merupakan langkah mudah untuk menjerat masyarakat meminjam dan berhutang dengan mereka. 

Apa yang dilakukan oleh Ah Long dalam mendapatkan wang daripada mereka adalah dengan mengambil kad ATM peminjam. Dari awal lagi ada yang telah meletakkan syarat, tetapi ada juga yang tidak dibincangkan daripada awal sehinggalah mereka menggunakan teknik kekerasan.

Kad ATM mangsa akan digunakan Ah Long untuk mendapatkan wang setiap kali gaji peminjam masuk dan kemudiannya, mereka masih akan menyimpan kad tersebut. Jika tidak berpuas hati dengan jumlahnya, tindakan ganas akan dilakukan dengan mencederakan peminjam. 

Jika tiada akaun bank, mereka memberikan alasan yang sama untuk menyuruh peminjam membuka akaun bank. 

Kad ATM Peminjam Digunakan Untuk Judi Online

Banyak kes berlaku yang melibatkan orang awam tidak boleh gunakan kad ATM mereka untuk transaksi bank tertentu. Apabila disemak, rupa-rupanya mereka pernah menggunakannya untuk judi online sedangkan tak pernah berjudi.

Itulah kerja yang Ah Long lakukan terhadap kad ATM yang mereka pernah serahkan suatu masa dahulu. Tahukah anda, prosedur untuk bermain judi online memerlukan kita memasukkan bayaran deposit ke akaun bank?

Kad ATM peminjam akan digunakan dan jika disemak, individu pemilik kad akan dikenalpasti dan boleh disabitkan kesalahan kerana dikira bersubahat. Memang bahaya!

Menurut sumber palembang.tribunnews, pemain judi online pasti akan mempunyai sekurang-kurangnya 3 kad ATM untuk bermain judi. Selain Ah Long menggunakan kad ATM peminjam, banyak pemain judi membeli kad ATM daripada sesiapa yang bersetuju menjualnya.

Jika diikutkan proses perjudian secara online, kad ATM menjadi tunjang utama dalam melancarkan permainan judi ini. Tidak hairanlah kenapa Ah Long mewajibkan peminjam membuka akaun bank dan menyerahkan kepadanya walaupun pinjaman dibuat hanyalah RM1,000.

Menurut sumber Astro Awani, ada juga Ah Long yang menjual kad ATM peminjam dengan harga bermula dari RM300. Dipercayai semua kad ATM tersebut adalah milik mangsa yang membuat pinjaman dengan mereka.

Aktiviti Penipuan Terbongkar, Berhati-Hati Dengan Ah Long

Pernah berlaku pada tahun 2019, sebanyak 72 keping kad ATM telah dirampas daripada Ah Long yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Kes kad ATM peminjam Ah Long digunakan untuk judi online ini boleh disabitkan kesalahan atas aktiviti penipuan yang berlaku. 

Ah Long juga menggunakan kad ATM peminjam bagi aktiviti pengubahan wang haram dan ‘Macau Scam’. 

Oleh itu, elakkan daripada meminjam dengan Ah Long. Jika institusi pinjaman adalah mencurigakan, jangan terus setuju. Masih banyak lagi pihak yang prihatin untuk membantu kita keluar daripada kemelut yang sedang melanda.

Dapatkan nasihat daripada badan kewangan yang dipercayai sekiranya kita mengalami masalah kewangan yang meruncing.

Sumber Rujukan: 



Source link