Uncategorized

Kadar Dasar Semalaman (OPR) Turun 25 Mata Asas Kepada 3% Untuk Galakkan Rakyat Berbelanja


Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) kepada 3.00 peratus. Dengan itu, kadar koridor tertinggi dan terendah bagi OPR masing-masing diturunkan kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.

Ekonomi dunia terus berkembang dengan sederhana. Meskipun pertumbuhan beberapa negara ekonomi utama pada suku pertama lebih baik daripada jangkaan, namun keadaan asas ekonomi terus menunjukkan potensi pertumbuhan masa depan yang agak sederhana. Walau bagaimanapun, masih wujud risiko ketara yang menjejaskan pertumbuhan global berpunca daripada ketegangan perdagangan yang berlarutan. Selain itu, kelemahan berpanjangan khusus pada negara-negara tertentu dalam ekonomi utama turut menjejaskan aktiviti perdagangan dan pelaburan global. Meskipun keadaan kewangan global yang kian ketat telah mula berkurang sedikit, ketidakpastian dasar yang semakin ketara boleh membawa kepada pelarasan pasaran kewangan yang mendadak, dan seterusnya menjejaskan prospek keseluruhan.

Bagi Malaysia, perkembangan terkini menunjukkan kegiatan ekonomi menjadi sederhana pada suku pertama 2019. Pada masa akan datang, keadaan permintaan global yang semakin lembap dan pertumbuhan perlahan rakan perdagangan utama Malaysia akan terus menjejaskan sektor luaran. Di dalam negeri, keadaan pasaran pekerja yang stabil dan pengembangan kapasiti dalam sektor utama akan terus mendorong perbelanjaan isi rumah dan pelaburan modal. Unjuran asas menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia akan berkembang antara 4.3% hingga 4.8%. Namun begitu, masih wujud risiko pertumbuhan menjadi rendah disebabkan oleh ketidakpastian yang semakin meningkat dalam persekitaran global dan dalam negeri, ketegangan perdagangan serta kelemahan yang berlanjutan dalam sektor berkaitan komoditi.

Inflasi keseluruhan meningkat kepada 0.2% pada bulan Mac 2019 (Februari: -0.4%), disebabkan terutamanya oleh inflasi pengangkutan yang menguncup pada kadar yang lebih kecil iaitu -3.0% (Februari: -6.8%). Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, kekal stabil pada 1.6% pada bulan Mac 2019. Dalam tempoh terdekat, inflasi dijangka terus rendah disebabkan oleh pelaksanaan langkah-langkah dasar. Langkah-langkah ini termasuk penetapan harga siling yang lebih rendah bagi harga runcit bahan api domestik sehingga pertengahan tahun 2019 dan kesan perubahan dalam dasar cukai penggunaan terhadap inflasi keseluruhan. Bagi seluruh tahun 2019, purata inflasi keseluruhan pada amnya dijangka stabil berbanding dengan tahun 2018. Trajektori inflasi keseluruhan akan terus bergantung pada harga minyak sedunia. Inflasi asas dijangka stabil disokong oleh kegiatan ekonomi yang terus berkembang dan ketiadaan tekanan permintaan yang besar.

Pasaran kewangan domestik kekal berdaya tahan meskipun berlaku volatiliti untuk tempoh tertentu yang disebabkan terutamanya oleh perkembangan global. Walaupun keadaan monetari dan kewangan domestik terus menyokong pertumbuhan ekonomi, terdapat tanda-tanda keadaan kewangan menjadi semakin ketat. Pelarasan terhadap OPR adalah bertujuan untuk mengekalkan tahap akomodatif monetari. Langkah pelarasan ini adalah sejajar dengan pendirian dasar monetari untuk menyokong pertumbuhan yang berterusan dalam keadaan harga yang stabil. MPC akan terus memantau dan menilai imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.

Sumber: Bank Negara Malaysia

Kadar Faedah Pinjaman Dan Pembiayaan Bakal Turun

Bagi yang sedang bercadang untuk membuat pinjaman atau pembiayaan untuk membeli rumah atau kereta, pastinya instalment bulanan akan menjadi lebih rendah. Begitu juga halnya bagi mereka yang sudah mempunyai pinjaman atau pembiayaan sedia ada dengan mana-mana institusi perbankan, pastinya akan bayar kurang daripada apa yang sedang dibayar sekarang ini.

Tujuan utama penurunan kadar dasar semalaman ini adalah untuk menggalakkan kita semua berbelanja bagi merancakkan ekonomi.

Sebaliknya, pulangan daripada simpanan tetap atau fixed deposit akan berkurang, seolah-olah kita tidak digalakkan untuk menyimpan.

Komen

komen





Source link