Artikel Terkini

Kadar dividen KWSP amat bergantung pada ekonomi global



KUALA LUMPUR: Kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) amat bergantung pada keadaan ekonomi global dan prestasi pasaran kewangan, kata pemerhati pasaran.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyifatkan kadar dividen 5.45 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 5.0 peratus ke atas Simpanan Shariah bagi 2019 adalah pulangan yang baik setelah mengambil kira persekitaran ekonomi global yang tidak begitu menentu.

“Kita perlu realistik dalam menjangkakan kadar dividen bagi 2020.

“Tahun lepas, dasar perlindungan perdagangan dilaksanakan ketara khususnya antara Amerika Syarikat dengan China, serta dalam bidang kuasa lain seperti Eropah, Jepun dan Korea Selatan. Ketidaktentuan berkaitan Brexit juga mendorong pelabur berhati-hati seiring dengan prestasi tidak menentu yang dialami pasaran komoditi,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pendedahan luas kepada pasaran pendapatan tetap akan memastikan KWSP mencatatkan aliran pendapatan di samping membolehkan potensi peningkatan kerana persekitaran kadar faedah lebih rendah boleh mendorong keuntungan modal memandangkan kadar faedah dan harga bon berkait secara songsang.

Instrumen pendapatan tetap mewakili 49 peratus jumlah aset keseluruhan KWSP, manakala peruntukan sebanyak 39 peratus dalam ekuiti akan memastikan dana persaraan itu meraih untung sekiranya ekuiti meningkat apabila ekonomi kembali pulih.

Dari segi lokasi geografi, pelaburan luar negara meliputi 30 peratus daripada aset keseluruhan dan menyumbang 42 peratus kepada pendapatan keseluruhan.

“Kesimpulannya, portfolio KWSP amat pelbagai, justeru, ia dijangka dapat bertahan menghadapi ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Lau Zheng Zhou berkata 2020 akan menjadi satu lagi tempoh mencabar seperti 2019 disebabkan kekurangan penggerak pertumbuhan ekonomi, seperti ditunjukkan menerusi penurunan pelaburan swasta dan awam yang berterusan.

Beliau berkata keyakinan pelabur, khususnya asing, turut akan kekal lemah disebabkan situasi domestik

“Kita baru sahaja memasuki 2020 apabila COVID-19 berlaku, dan kita masih tidak pasti sebesar mana kesannya namun memandangkan KWSP lebih kepada portfolio konservatif, ia sewajarnya dapat menjana pulangan yang baik,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata KWSP telah menjelaskan bahawa ia perlu meningkatkan pendedahan di luar negara.

“KWSP dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lain yang berasaskan simpanan perlu diberi lebih banyak peluang melabur di luar negara bagi kepelbagaian serta peluang dalam pasaran pesat membangun dan firma yang pantas berkembang.

“GLIC turut melabur dalam banyak syarikat yang sama, sekali gus itu meningkat (isu) risiko penumpuan. Jadi, baik juga untuk melaksanakan kepelbagaian luar dari pasaran domestik,” katanya.

Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Tan Sri Dr Kamal Salih berkata di tengah-tengah persekitaran ekonomi yang sukar, sentimen pasaran dan prestasi kewangan korporat turut terjejas, manakala pengurus institusi kewangan seperti KWSP tidak dapat bertindak secara lebih positif dari segi pengumuman dividen.

“Kita perlu berhati-hati, dan buat masa ini, pelabur asing akan terus menunggu penyelesaian kemungkinan pengaturan semula landskap politik negara,” katanya.

Melangkah maju, kajian MIER mendapati kesan susulan COVID-19 ke atas ekonomi Malaysia masih kecil, terutama melibatkan sektor pelancongan dan pembuatan berorientasikan eksport.

“Ia boleh menjadi bertambah buruk dan menjejaskan pelancongan, namun kerajaan menguruskan situasi melibatkan COVID-19 dengan baik,” katanya.

— BERNAMA





Source link

Related Posts