Artikel Terkini

Kanak-kanak genius Malaysia cipta sejarah jadi ahli termuda Mensa UK



SEORANG kanak-kanak Malaysia berusia 3 tahun yang menetap di United Kingdom mencipta sejarah apabila dipilih menjadi ahli termuda untuk menyertai Mensa UK, iaitu persatuan masyarakat IQ tinggi antarabangsa.

Kanak-kanak itu, Haryz Nadzim Mohd Hilmy Naim diterima masuk menyertai persatuan berkenaan selepas mendapat skor kecerdasan minda (IQ) sebanyak 142 menerusi ujian Stanford Binet.

Skor berkenaan menyebabkannya tergolong dalam 0.3 peratus kanak-kanak genius di dunia, lapor Metro UK.

Ibu bapa Haryz iaitu Anira Asyikin dan Mohd Hilmy Naim, yang kedua-duanya mempunyai latar belakang pengajian Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang kejuruteraan, tidak pernah menyangkakan anaknya itu mempunyai tahap kecerdasan minda yang luar biasa.

“Apabila kami menghantarnya ke pusat asuhan, kami diberitahu bahawa anak kami menunjukkan kebolehan yang luar biasa berbanding kanak-kanak lain.

“Kami diberitahu Haryz boleh membaca dengan lancar kesemua buku ceritanya,” jelas ibunya.

Menyedari kebolehan itu, Haryz kemudiannya dibawa berjumpa seorang pakar psikologi bernama Lyn Kendall, yang pakar dalam mengesan potensi kanak-kanak berbakat.

Jelas Anira lagi, dia ingin menyokong anaknya itu mencapai potensi sebenar.

“Kami berharap anak kami dapat mencapai potensi sebenarnya dan terus menyokong semua bidang yang diceburinya.

“Pada masa sama, kami tidak mahu meletakkan beban yang berat terhadapnya dan kami mahu dia dapat merasai pengalaman membesar seperti kanak-kanak normal yang lain,” kata Anira.

Tambah Anira, ketika Haryz berusia dua tahun, dia dan suaminya membuka saluran YouTube yang digelar Little Haryz, bagi memberi inspirasi kepada kanak-kanak lain.

“Dia sama seperti kanak-kanak berusia tiga tahun yang lain. Dia sangat suka bermain, melukis dan juga menyanyi,” jelas ibunya.

Malah, kata Anira, anak lelakinya itu turut suka menonton rancangan kanak-kanak Story Bots dan Numberblocks.

Tambah Anira, anaknya juga suka bertanyakan soalan dan bercakap mengenai angkasa lepas dan membaca buku.

“Apa yang menariknya tentang Haryz adalah dia sangat suka membaca.

“Haryz juga tidak mengetahui bahawa dirinya itu seorang yang bijak pandai,” ujarnya.

Tambah Anira, dia berharap pemilihan anaknya menyertai persatuan itu menjadi batu loncatan untuk anaknya melangkah jauh dan mencapai kejayaan.

“Kami sangat teruja dan semestinya kami akan menyokong Haryz membina keyakinan diri supaya dia boleh memberikan sesuatu kepada masyarakat.

“Apa yang kami harapkan adalah kami dapat memberikan Haryz motivasi sepenuhnya untuk dia menimba ilmu.

“Perkara yang paling penting adalah kami mahu dia gembira dengan apa yang dia lakukan kerana kami sentiasa bangga dengan anak kami walau apa sekalipun pencapaiannya,” kata Anira.





Source link