Artikel Terkini

Kehendak Generasi Milenium: Tak Seperti Yang Kita Sangkakan


Ramai yang menyangka kita faham apa yang generasi milenium mahukan. Tetapi, menurut satu laporan, kita sebenarnya kurang mengerti apa kehendak generasi milenium ini terutamanya daripada segi pelaburan.

Cuba anda bayangkan, generasi milenium dijangka akan mewarisi $30 trilion untuk 30 tahun berikutnya. Jika ada penasihat kewangan yang ingin terlibat dalam menguruskan jumlah tersebut, adalah dinasihatkan supaya membentuk kefahaman dan melengkapkan mereka dengan ilmu kewangan dan pelaburan.

Perkara pertama yang harus kita lakukan adalah melupakan semua persepsi yang melibatkan hubungan antara milenium dan kewangan. Ini bukan suatu perkara yang mudah kerana kita tahu bahawa generasi milenium ini sinonim dengan sifat bercita-cita tinggi dan kadang kala terlalu yakin.

Kita menganggap mereka yang lahir dalam era digital dan berteknologi tinggi lebih cenderung kepada teknologi seperti robo-advisor dan cryptocurrency. Kita merasakan mereka mempunyai lebih banyak hutang dan kurang pendapatan, dan biasanya kurang percaya kepada industri kewangan dan penasihat kewangan.

Kajian yang dibuat telah mendedahkan hakikat yang sebenar. Tanggapan stereotaip kita terhadap golongan milenium ini sebenarnya lebih rumit dan pelbagai daripada yang kita jangka.

Kalau kita bercakap tentang matlamat kewangan, sikap bercita-cita tinggi dan keyakinan yang tinggi generasi milenium ini seharusnya membawa kepada kemungkinan untuk bersara awal. Tetapi, melalui kajian yang dijalankan menunjukkan sebaliknya.

Hanya 3% golongan milenium menjangkakan bahawa mereka akan bersara sebelum umur 50 tahun, dan sebahagian besar mereka tidak berharap untuk bersara sama sekali!

Selain daripada itu, ramai membuat pengakuan bahawa banyak pelaburan yang mereka tidak tahu dan mereka percaya bahawa mereka mempunyai jurang yang luas dalam ilmu pengetahuan dan kemahiran pelaburan mereka.

Golongan milenium yang kita anggap berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi mengatakan mereka tidak diberitahu atau tidak ingin tahu tentang robo-advisor.

Melalui kajian tersebut, 37% daripada mereka mengatakan mereka tidak pernah dengar tentang robo-advisor dan hanya 16% yang berminat dengan robo advisor. Mereka juga mengatakan bahawa apabila berkerja dengan pengurus kewangan, mereka lebih suka untuk berbuat demikian secara bersemuka (Face to Face) dan menunjukkan kurang minat terhadap cryptocurrency.

Dengan kemelesetan ekonomi yang berlaku, penasihat kewangan pasti merasakan bahawa lebih sukar untuk meyakinkan golongan milenium ini. Pasti juga lebih sulit untuk mengambil peluang ke atas golongan ini untuk mengamanahkan wang mereka. Ternyata semua ini tidak benar!

Krisis ekonomi tidak membuat generasi milenium ini terlalu skeptikal terhadap industri kewangan. Menurut kajian, 41% daripada mereka boleh bekerja dengan penasihat kewangan dan 72% daripada mereka sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan.

Hanya 15% daripada mereka yang tidak menggunakan khidmat pelaburan mempunyai kurang kepercayaan terhadap sistem pelaburan.

Jadi, apa yang kita boleh ambil iktibar daripada kajian ini? Sebenarnya, golongan milenium ini tidak menginginkan robo advice, cryptocurrency ataupun pulangan yang lumayan. Tetapi, mereka cuma mahu pendidikan dan pengetahuan dalam bidang kewangan.

Mereka mahu penasihat kewangan yang boleh membantu merapatkan jurang pengetahuan kewangan mereka, menjaga kepentingan mereka dan menggunakan pendekatan yang sesuai untuk memenuhi keperluan mereka.

Apa yang golongan milenium ini mahukan lebih kurang sama seperti apa yang generasi lain mahu daripada penasihat kewangan mereka. Dengan adanya khidmat daripada penasihat kewangan profesional boleh membantu mereka menguruskan harta mereka pada masa yang akan datang.

Ditulis oleh Abang Yazree Hazwan. Penulis merupakan seorang Eksekutif di sebuah syarikat penyelidikan pasaran di Malaysia. Mempunyai pengalaman dalam bidang insurans/reinsurans di syarikat reinsurans tempatan.

Sumber Rujukan: https://blogs.cfainstitute.org/investor/2018/11/28/what-millennials-want-not-what-you-think/



Source link