Uncategorized

Kemakmuran Bersama jadi teras #MyAPEC2020



CYBERJAYA: Kemakmuran Bersama menjadi teras kepada Malaysia sebagai tuan rumah kepada Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik Ke-30 (APEC 2020).

Menerusi tema ‘Mengoptimum Potensi Manusia menuju Masa Hadapan Kemakmuran Bersama’, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kini tiba masa bagi  21 anggota kerjasama ekonomi itu mempertimbang untuk mengangkat falsafah itu dan melaksanakannya dalam model ekonomi ketika ini.

“Memperbaiki taraf hidup rakyat secara keseluruhan dan memastikan kehidupan rakyat yang lebih baik akan menjadikan APEC lebih mapan dan relevan sebagai sebuah kesatuan untuk tempoh yang panjang.

“Dalam kata lain, naratif perdagangan dan pelaburan adalah bukan hanya mencipta kekayaan, pekerjaan dan pembangunan, malah termasuk memastikan kesejahteraan sosial,” katanya pada ucaptama perasmian APEC 2020 di Cyberview Lodge Resort and Spa di sini hari ini.

Jelas Dr Mahathir lagi, Malaysia selaku tuan rumah kepada APEC 2020 memberi jaminan akan meneruskan usaha pembangunan ekonomi wanita, keterangkuman kewangan, penglibatan belia, pembangunan mapan serta mewujudkan suasana kondusif kepada usahawan, syarikat permulaan dan keusahawanan sosial.

Tegasnya, segala elemen itu merupakan unsur terpenting dalam komponen yang menjadi penyumbang kepada kemakmuran bersama yang akan menjadi fokus pada pasca Matlamat Bogor.

“Pasca Visi APEC 2020 yang akan dilancarkan tahun hadapan akan memastikan hala tuju APEC kekal relevan menerusi pendekatan yang inklusif.

“Ia akan diwujudkan berteraskan Matlamat Bogor dengan meletakkan nilai tambah hasil pencapaian sejak 30 tahun lalu serta mengekalkan statusnya sebagai sebuah forum ekonomi terulung pada tahun mendatang.

“Apa yang lebih penting, Malaysia ingin melihat konsep Kemakmuran Bersama menjana visi dan falsafah dalam setiap pelaksanaan APEC menuju pasca Matlamat Bogor,” katanya.

Majlis yang turut disaksikan oleh perwakilan asing anggota APEC dan menteri-menteri Kabinet turut menyaksikan pelancaran logo #MyAPEC2020 – iaitu bunga kebangsaan yang mengandungi 21 kelopak menggambarkan anggota ekonomi APEC.

BERITA LANJUT MENYUSUL





Source link

Related Posts