Artikel Terkini

Kembali cari rezeki di negeri kelahiran, pekerja di Singapura ini percaya ada hikmahnya



HUJAN emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik di negeri sendiri.

Pepatah itu mungkin sesuai buat Mohd Norizuan Samingan, anak muda berasal dari Johor yang bekerja Singapura dan kini kembali mencari rezeki di negeri kelahirannya.

Semua ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Tindakan Pemutus Rantaian (circuit breaker) yang dilaksanakan Malaysia dan Singapura.

“Sejak PKP dan circuit breaker dilaksanakan Mac lalu, saya telah diarahkan bercuti oleh syarikat,” ujar Norizuan yang kini meneruskan kehidupan dengan bekerja sambilan di Johor.

Katanya, pada Mac lalu, dia yang bekerja dalam sektor makanan dan minuman sejak dua tahun lalu diarah bercuti tanpa gaji.

Sehingga kini, Norizuan masih menunggu jawapan daripada syarikat untuk mengetahui status pekerjaannya.

“Syarikat masih memberi cuti tanpa gaji sehingga selesai PKP, tapi keadaan di Singapura amat membimbangkan.

“Saya tak tahu bila keadaan boleh kembali seperti biasa.

“Setakat ini syarikat masih simpan saya sebagai pekerja, tetapi masa akan datang apabila PKP ini berlanjutan mungkin saya boleh dibuang kerja,” luahnya.

Bagaimanapun, demi meneruskan kelangsungan hidup menampung keluarga, Norizuan perlu mencari alternatif pekerjaan lain.

Apatah lagi, nasib kerjanya di Singapura sehingga kini masih samar.

“Perancangan saya mungkin akan mencari kerja di Malaysia untuk menampung kehidupan seharian.

“Pada masa sekarang saya buat ‘part time’ sebagai penghantar makanan,” katanya.

Dengan tempoh PKP yang perlu dituruti banyak perubahan yang berlaku dan perlu ditempuhi.

Mengakui pendapatan yang diterima agak berbeza, namun di sebalik dugaan yang menimpanya, Norizuan percaya semua yang berlaku ada hikmahnya.

“Dulu kerja di Singapura waktu tidur kena jaga sebab awal pagi dah kena bawa motor masuk sana dan ada ‘steady income’.

“Sekarang saya banyak habiskan masa dengan keluarga dan anak-anak.

“Untuk income tu, saya kerja jadi rider part-time tapi pendapatan sangat jauh berbeza dengan semasa saya kerja di Singapura dahulu,” ujarnya lagi.





Source link