Artikel Terkini

Kempen S.O.S AirAsia terima sambutan menggalakkan peniaga



KUALA LUMPUR: Kempen Save Our Shops (S.O.S) yang baru dilancarkan AirAsia untuk membantu peniaga memasarkan produk secara dalam talian menerima sambutan menggalakkan dengan 580 peniaga baharu mendaftar setakat 8 April untuk menjalankan perkhidmatan penghantaran ke rumah.

Ketua Pegawai Eksekutif Teleport, cabang logistik Kumpulan AirAsia Pete Chareonwongsak berkata peniaga tersebut menyediakan produk keperluan harian, barangan kanak-kanak, fesyen, barangan isi rumah, produk kecantikan, produk gaya hidup dan penjagaan kesihatan.

“AirAsia mempromosi kempen ini menerusi semua saluran pemasaran sedia ada termasuk laman web AirAsia.com kerana kami menghimpunkan pasukan kami untuk menggunakan sumber, teknologi dan masa mereka dalam membantu perniagaan tempatan berniaga secara dalam talian dan bersedia dengan e-dagang.

“Kami telah membantu perniagaan untuk berniaga dalam talian dalam tempoh tiga hari, dan ia adalah satu kejayaan besar. Kami juga telah mendapatkan lebih banyak Teleport atau Pemacu Teleport berikutan permintaan yang meningkat bagi penghantaran ke rumah,” katanya kepada Bernama.

Kempen S.O.S dilancarkan pada 4 April, 2020 untuk membantu perniagaan tempatan yang terjejas teruk oleh COVID-19 dengan memasarkan produk mereka melalui platform e-dagang, OURSHOP dan diperkasa oleh Teleport.

Kempen itu akan membolehkan peniaga mendaftar tanpa sebarang fi penyenaraian dan komisen untuk memasarkan produk mereka di OURSHOP sepanjang April.

Chareonwongsak berkata sejak kempen itu dilancarkan, Teleport telah menerima lebih 3,600 permohonan daripada peniaga.

Beliau berkata perkhidmatan penghantaran ke rumah yang buat masa ini hanya dijalankan di Semenanjung Malaysia akan diperluas ke Sabah dan Sarawak serta pasaran antarabangsa, dalam masa terdekat.

Menurutnya fi penghantaran sama rata sebanyak RM7 akan dikenakan ketika kempen itu dan ia mungkin berubah selepas kempen berkenaan, kata beliau.

— BERNAMA





Source link

Related Posts