Artikel Terkini

Kenapa Dalam Faraid, Bahagian Perempuan Lagi Sikit Daripada Lelaki?


Pembahagian
hukum faraid telah Allah jelaskan melalui Surah An-Nisa’ ayat 11 dan 12 secara
sangat mendalam.

“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan…”

(Surah An-Nisa’ : 11)

Mereka yang memahami ayat ini secara luaran sahaja selalu beranggapan bahawa Islam sebagai tidak adil kerana hanya bahagian harta pusaka yang anak perempuan dapat hanya separuh daripada apa yang anak lelaki dapat. Bahkan inilah yang didakwan oleh golongan oreantalis dari Barat mahupun dari Timur.

Inilah yang
terjadi apabila Islam dan Al-Quran itu diambil secara separuh-separuh. Mana
yang berkenan di hati ambil, mana yang rasa susah nak buat ditinggalkan.
Akhirnya buruklah imej agama Islam di mata masyarakat bukan Islam.

Sebenarnya,
hukum faraid daripada ayat 11 Surah An-Nisa’ ini patut dibaca dan difahami
sekali konteksnya dengan ayat lain daripada surah yang sama. Yang mana Allah
berfirman;

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.

(Surah An-Nisa’ : 34)

Jangan hanya menuntut hak, tetapi mengabaikan tanggungjawab.

Sekiranya kita benar-benar memahami ayat ini, kita akan tahu bahawa bahagian yang sedikit lebih kepada mereka itu hanyalah kerana mereka itu sepatutnya bertanggungjawab menjaga kebajikan wanita di dalam keluarganya. Manakalah bagi wanita pula, ½ bahagian faraid daripada harta pusaka yang diterimanya itu adalah untuk kegunaan diri sendiri sahaja.

Di hujung
ayat 34 Surah An-Nisa’ ini juga jelas menunjukkan tanggungjawab kaum lelaki
untuk membelanjakan harta mereka untuk kaum wanita di dalam keluarganya.

Namun realiti
kebanyakan yang berlaku di kalangan kita adalah berbeza.

Orang hanya bergaduh bab bagaimana nak bahagikan harta pusaka. Hanya sibuk menggunakan ayat hukum faraid untuk menuntut hak harta pusaka, tapi jarang sekali membincangkan bagaimana nak bahagikan tanggungjawab untuk menjaga kebajikan waris yang ditinggalkan arwah.

Itulah sebenarnya ujian untuk adik-beradik si mati.

Sepatutnya,
apabila berlaku kematian seorang bapa atau suami, kaum lelaki daripada keluarga
tersebut seharusnya mengambil tanggunjawab untuk menjaga kebajikan waris yang
ditinggalkan. Lebih-lebih lagilah kalau balu tersebut masih mempunyai anak
kecil.

Malangnya apa
yang terjadi hari ini, si balu lah yang terpaksa bersusah payah membesarkan
anak-anak dengan tiada bantuan daripada ahli keluarga. Saya sendiri, mendapat
banyak kes sebegini yang mana balu mengadu terpaksa bersusah payah sendirian
membesarkan anak.

Masa
pembahagian pusaka masing-masing sibuk berebut. Dah dapat bahagian
masing-masing semua senyap. Bila si balu minta sebahagian pusaka arwah suaminya
untuk membayar hutang arwah, disuruhnya pula gunakan bahagian faraid yang si
balu terima.

Ya, perkara
ini memang benar-benar terjadi dalam masyarakat kita.

Solusi Perebutan Harta Pusaka

Kita tidak
dapat tahu apa yang akan terjadi pada masa akan datang. Tetapi apa yang kita
tahu, kita boleh bersedia dan merancang untuk menghadapinya,

Maka dengan
sebab itulah wujudnya instrumen-instrumen perancangan dan pewarisan harta
pusaka di Malaysia seperti pemberian hibah, wasiat pentadbiran, trust deed dan
banyak lagi untuk membantu memudahkan dan melancarkan perjalana pengurusan
harta pusaka. 

Sebagai
contoh, pelantikan wasi (pentadbir) didalam dokumen wasiat bertujuan untuk
melancarkan pentadbiran harta pusaka mengikut syarak dan undang-undang. Ini
dapat mengelakkan daripada waris yang tidak amanah menguruskan harta pusaka.
Ini kerana terdapat waris yang dengan sengaja mengagihkan harta pusaka arwah
tanpa menyelesaikan dahulu hutang-hutang arwah.

Padahal di
penghujung ayat 11 Surah, Allah jelas memerintahkan kepada waris untuk
menyempurnakan wasiat arwah dan membayarkan hutangnya dahulu sebelum diagihkan
harta tersebut kepada waris.

“…(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya…”

(Surah An-Nisa’:11)

Islam itu sudah lengkap, cantik dan sempurna tetapi malangnya kita tidak benar-benar memahami dan mengamalkannya secara tuntas.

Baca juga :

1. Bagaimana Cara Untuk Mengelak Rumah Pusaka Daripada Terjual Akibat Waris Berebut Bahagian Faraid
2. Hibah Sebelum Hiba: Ketahui Perbezaan Di Antara Hibah, Wasiat dan Faraid

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, seorang konsultan di sebuah firma runding perancangan harta dan urus pusaka.



Source link