Artikel Terkini

Kenapa Ramai Isteri Tak Letak Suami Sebagai Penama Harta?


Photo by Katsiaryna Endruszkiewicz on Unsplash

Sebagai seorang perunding harta pusaka, saya banyak berurusan dengan kerenah client yang bermacam ragam.

Apa yang menarik, kebanyakan client yang menghubungi saya untuk membuat perancangan harta seperti wasiat dan hibah adalah daripada kaum wanita.

Mungkin kerana kaum wanita yang paling banyak terkesan jika masalah perebutan harta pusaka berlaku, jadi mereka lebih cakna dan ingin mengambil langkah berjaga-jaga lebih awal.

Dan apa yang lebih menarik adalah, client-client wanita yang kebanyakannya bergelar isteri, lebih cenderung untuk meletakkan anak-anak atau ibu bapa sebagai penama bagi asset-aset mereka.

Sebagai contoh letak anak sebagai penama KWSP dan ibu sebagai penama akaun Tabung Haji.

Apabila saya tanya kenapa tak letak nama suami? Jawapan mereka walaupun kedengaran lucu tapi ada asasnya.

“Lebih selamat saya bagi pada anak-anak. Kalau letak nama suami, takut suami kahwin lain lepas saya meninggal dunia.”

Takut suami guna hartanya untuk berkahwin lain.

Salah Faham Tentang Penama (Nominee)

Rupa-rupanya masih ramai salah faham dalam kalangan masyarakat tentang fungsi dan tanggungjawab penama atau nominee.

Penama (Nominee) vs penerima harta (beneficiary).

Ada beza di antara penama dan penerima harta?

Apabila tidak tahu perbezaan tentang dua perkara ini maka macam-macam kesilapan dan salah faham yang akan berlaku.

Penama hanya pentadbir atau pemegang amanah harta bukan pemilik mutlak harta!

Bagi seorang Muslim, seorang penama masih bertanggungjawab menguruskan harta tersebut mengikut hukum Islam antaranya seperti melunaskan hutang, perlaksanaan wasiat dan membahagikan bakinya mengikut hukum faraid.

Jadi sekalipun isteri letak nama suami sebagai penama, suami takboleh gunakan harta tersebut sesuka hati sahaja.

Apa yang perlu seorang penama harta buat selepas kematian si pemilik harta?

  1. Bayar kos pengebumian.
  2. Bayar hutang ibadah.
  3. Bayar hutang harta.
  4. Penyelesaian harta sepencarian, hibah dan harta amanah.
  5. Perlaksanaan wasiat.
  6. Pembahagian secara faraid.

Masalah apabila meletakkan nama ibubapa atau anak-anak bawah umur sebagai penama harta.

Pernah saya dapat soalan daripada seorang isteri yang ingin meletakkan bapanya sebagai penama akaun Tabung Haji.

Katanya dia lebih percaya bapanya daripada suami.

Sekarang Puan umur berapa tahun?” Sengaja saya bertanya.

“38 tahun.” beliau menjawab semula.

“Kalau puan 38 tahun, saya agak-agak umur bapa puan antara 65 – 70 tahun, betul tak?” Saya cuba mendapatkan kepastian.

“Ya lebih kuranglah.” beliau mengangguk.

“Pada umur 70 tahun, laratkah bapa puan nak turun naik pejabat Tabung Haji dan uruskan harta-harta puan?” Saya bertanya semula.

Baru beliau faham maksud saya.

Begitu juga dengan meletakkan nama anak di bawah sebagai pentadbir harta.

Mereka tetap tak boleh laksanakan tugas sebagai pentadbir.

Lainlah kalau mereka memang sudah dewasa, matang dan mampu menguruskan hal sebegini.

Tetapi saya tetap tak percaya pada suami untuk tadbir harta saya.

Walaubagaimanapun, jika si isteri memang tidak mahu suaminya yang menguruskan harta pusakanya nanti, ada jalan penyelesaian lain.

Si isteri boleh buat satu surat ikatan amanah atau dipanggil trust deed dengan melantik badan berautoriti seperti RHB Trustee untuk menguruskan harta pusaka bagi pihaknya.

Si isteri boleh merangka secara detail arahan untuk dilaksanakan oleh pihak trustee.

Ini jauh lebih selamat, kerana pihak trustee bukanlah manusia yang berpontensi besar untuk berlaku pecah amanah. Mereka tertakluk dibawah undang-undang pemegang amanah.

Kesimpulannya, lantiklah mereka yang boleh berlaku amanah dan ada kemampuan untuk menguruskan harta pusaka kita kelak.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, konsultan di sebuah firma runding perancangan harta dan urus pusaka. Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi beliau di sini.



Source link