Artikel Terkini

Keputusan benarkan operasi sektor ekonomi beri impak positif negara

81587091012 AzminAli - Keputusan benarkan operasi sektor ekonomi beri impak positif negara



81587091017 AzminAli - Keputusan benarkan operasi sektor ekonomi beri impak positif negara

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan membenarkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi dijangka memberikan impak positif ke atas pertumbuhan ekonomi dan pendapatan negara serta kelangsungan pekerjaan rakyat.

Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan, jika kerajaan tidak mengambil langkah berkenaan, sumber pendapatan negara akan menyusut, pertumbuhan ekonomi akan terencat dan pendapatan perniagaan serta individu akan terjejas.

Justeru, dengan mengambil kira keberkesanan memerangi wabak COVID-19, kini tiba masanya untuk memberi fokus menyeluruh dalam memulakan (restarting) dan merangsang semula sektor ekonomi negara bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kemampanan ekonomi.

“Kerajaan membuat keputusan ini dengan penuh teliti, berhati-hati dan bertanggungjawab. Kerajaan telah memberi pertimbangan yang terperinci berdasarkan kepada data dan kajian yang dibentangkan berkaitan dengan situasi kesihatan serta kedudukan terkini ekonomi dan kewangan negara,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Jelas Mohamed Azmin pembukaan semula ekonomi secara berperingkat pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap 1 hingga 3 jelas memberikan hasil yang baik dari segi ekonomi tanpa menjejaskan usaha membendung penularan COVID-19.

“Dengan mengambil kira perkembangan kesihatan dan keperluan menjana semula ekonomi, kerajaan telah melaksanakan langkah-langkah pembukaan ekonomi secara berperingkat mulai 18 Mac hingga 28 April di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap 1 hingga 3 dengan pematuhan syarat-syarat kesihatan di dalam Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Tindakan yang teliti dan berhati-hati ini telah menunjukkan hasil yang baik khususnya dalam aspek penambahan sektor ekonomi yang dibuka dan pada masa yang sama, tidak menjejaskan usaha Kerajaan dalam membendung penularan COVID-19,” tambahnya.

Jelasnya, kerajaan membuat keputusan berdasarkan tanda aras Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengariskan enam kriteria utama iaitu kawalan keselamatan, kawalan pergerakan, kemampuan sistem kesihatan, kemampuan melindungi golongan berisiko tinggi, mengamalkan kebiasaan baharu dan kemampuan melaksanakan langkah pencegahan dalam komuniti.

“Pada masa yang sama, sekumpulan pakar perubatan dari Republik Rakyat China yang terlibat dalam penyelidikan dan pengurusan pandemik COVID-19 telah tiba di Malaysia dua minggu lalu. Mereka telah memberikan pendapat pakar dan berpandangan bahawa Malaysia bersedia memulakan aktiviti ekonomi.

“Semestinya kejayaan membendung penularan COVID-19 adalah hasil sokongan dan kerjasama rakyat di pelbagai peringkat: pekerja-pekerja, majikan dan persatuanpersatuan bukan kerajaan serta keseluruhan jentera Kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri,” kata beliau lagi.

Kerajaan juga berharap komuniti perniagaan  khususnya Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) akan dapat memulihkan semula operasi perniagaan mereka, mengukuhkan aliran tunai, membina semula rantaian bekalan dan menangani risiko kehilangan pasaran eksport (reshoring).

Pada masa ini, PKS menyumbang 66 peratus kepada tenaga kerja di Malaysia. Maka, tindakan kerajaan pasti dapat menjamin kelangsungan pekerjaan dan pendapatan pekerja.

Sehubungan itu, sektor-sektor ekonomi yang akan beroperasi mulai 4 Mei ini wajib mematuhi syarat-syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi industri masing-masing. Kegagalan mematuhi SOP adalah satu kesalahan dan boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil ke atas syarikat dan firma berkenaan.

“Perlu ditegaskan bahawa kerajaan tidak teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sekiranya terdapat kenaikan mendadak kes-kes baru di mana-mana kawasan,” tambahnya. 





Source link

Related Posts