Artikel Terkini

Kerajaan komited kembalikan defisit fiskal bawah 4.0 peratus – Tengku Zafrul



PUTRAJAYA : Kerajaan komited untuk mengembalikan defisit fiskal di bawah 4.0 peratus dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang, ujar Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ketika ini katanya, defisit belanjawan Malaysia diunjurkan meningkat kepada 5.8 hingga enam peratus dan tahap hutang negara pada tahap 52 peratus.

“Penganalisis, agensi panarafan dan pelabur memahami bahawa Malaysia, seperti negara-negara lain, akan mencatatkan defisit yang lebih tinggi berikutan pelbagai langkah rangsangan ekonomi.

“Ya, defisit belanjawan Malaysia diunjurkan meningkat kepada 5.8 hingga enam peratus dan tahap hutang kita pada masa ini pada tahap 52 peratus, mungkin akan mencecah had berkanun 55 peratus pada akhir tahun ini.

“Ini berikutan pelaksanaan langkah-langkah PRIHATIN dan PENJANA untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan selain merangsang ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Laksana Ke-10 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi Kementerian Kewangan Malaysia pada Selasa.

Justeru katanya, adalah penting untuk negara memperbaiki keadaan ini dengan melalui disiplin fiskal.

“Bagi tahap hutang pula, saya pernah menyebut beberapa kali bahawa antara 97 hingga 98 peratus hutang kita adalah hutang dalam negeri, dan ini penting kerana ini bermakna pendedahan kita terhadap risiko turun naik matawang asing adalah amat terhad.

“Dalam hal ini, kerajaan amat komited dalam memastikan disiplin fiskal diteruskan,” tambahnya lagi.

Beliau dalam pada itu, mengucapkan terima kasih kepada pelbagai sektor swasta dan agensi kerajaan yang telah memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada langkah pemulihan ekonomi.

“Tanpa sokongan padu daripada pihak yang berkaitan dalam ekosistem kewangan dan ekonomi kita, tidak mungkin kita akan dapat membuahkan pakej PRIHATIN dan PENJANA dengan nilai keseluruhan RM295 bilion untuk sama-sama menyelamat dan memulihkan ekonomi negara demi rakyat,” ujarnya.





Source link

Related Posts