Artikel Terkini

Kerajaan laksana 18% diskaun di semua lebuh raya PLUS mulai 1 Feb



61551764450 PlazaTol - Kerajaan laksana 18% diskaun di semua lebuh raya PLUS mulai 1 Feb

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan pengurangan 18% ke atas kadar tol bagi penggunaan kenderaan persendirian di semua lebuh raya Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), berkuat kuasa 1 Februari ini.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu berdasarkan persetujuan Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 15 Januari, 2020.

Katanya lagi, lebuhraya yang terlibat ialah – Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP).

“Sebagai contoh, kadar tol di Lebuhraya Utara Selatan akan berkurang daripada 13.6 sen/km kepada 11.15 sen/km. Apabila ia dilaksanakan, kadar tol baharu ini lebih rendah daripada kadar tol pada tahun 1999 (11.24 sen/km).

BACA: Kerajaan ambil keputusan tidak jual PLUS – Tun Mahathir

“Ini bermakna kadar tol Jalan Duta ke Alor Setar akan ditetapkan kepada RM45.50 berbanding RM55.50, manakala kadar tol Jalan Duta ke Skudai menurun kepada RM38.50 daripada RM47.00 sekarang ini,” menurut kenyataan itu lagi.

PMO berkata, sejajar dengan keputusan itu, Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh konsesi bagi semua Lebuhraya PLUS selama 20 tahun, dari 2038 ke 2058.

Jelasnya lagi, keputusan itu diambil bagi memastikan PLUS mampu menjalankan kegiatan penyelenggaraan dan operasi lebuhraya mereka tanpa bergantung kepada Kerajaan.

“Walaupun sebelum ini perjanjian konsesi memperuntukkan kenaikan kadar tol secara berperingkat, keputusan terbaru ini akan memastikan tiada kenaikan kadar tol sehingga tempoh konsesi tamat selama 38 tahun (2020-2058).

“Tiada sebarang bayaran akan dibuat oleh Kerajaan kepada PLUS sebagai timbal balas berikutan pengurangan kadar tol tersebut,” kata PMO.

Dengan tindakan itu juga, PMO berkata, kerajaan kini tidak lagi perlu membayar pampasan kepada PLUS, dan penjimatan sekitar RM42 bilion dapat dilakukan sepanjang 20 tahun tempoh konsesi itu.

“Kerajaan yakin keputusan ini akan memberi manfaat yang banyak kepada Rakyat melalui pengurangan beban kadar tol, dan dalam masa yang sama membolehkan PLUS untuk terus beroperasi dengan kedudukan kewangan yang baik.
                                                                                                                                                 “Penjimatan RM42 billion kini boleh digunakan oleh Kerajaan untuk inisiatif-inisiatif yang menguntungkan Rakyat,” katanya lagi.





Source link

Related Posts