Artikel Terkini

Kerajaan Sabah sambut baik langkah McDonalds labur RM25 juta di Sabah



SEMPORNA: Kerajaan Sabah mengalu-alukan pengembangan perniagaan McDonald’s Malaysia di Sabah yang akan melabur RM25 juta bagi pembukaan cawangan baharu di negeri itu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata langkah syarikat itu akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Sabah dan ke arah kesejahteraan rakyat adalah nilai tambah cukup bertepatan dengan aspirasi kerajaan.

“Saya berharap rakyat di negeri ini akan dapat membantu menyuburkan perniagaan seumpama ini kerana pulangannya bukan setakat kepada keuntungan syarikat malahan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Outlet McD Semporna sekali gus menyempurnakan program penyerahan zakat, program kembali ke se kolah serta program Skim Latihan Dalam Industri McD di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya kerajaan negeri turut menghargai usaha McDonald’s Malaysia yang bukan setakat menyediakan landasan makanan dan minuman yang terkenal di dunia tetapi turut memulangkan sumbangan kepada rakyat khususnya di Sabah.

Memuji usaha itu, Mohd Shafie berkata inisiatif McDonald’s dalam menyediakan bantuan seperti persekolahan kepada anak kurang berkemampuan merupakan satu amalan yang cukup digalakkan.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafae berkata pihak syarikat sentiasa berharap mampu memainkan peranan ke arah mensejahterakan rakyat.

“Mewujudkan impak positif kepada masyarakat merupakan nilai teras McDonald’s Malaysia, semoga pembukaan restoran baharu di Sabah ini membuka peluang pekerjaan dan ruang ke arah pembangunan bakat.

“Di samping merancakkan lagi ekonomi negeri, besar harapan McDonald’s dalam mengembangkan perniagaan kami di Sabah seterusnya dapat membantu meringankan beban golongan masyarakat kurang bernasib baik,” katanya.

Pada perasmian outlet McD Semporna itu, turut diumumkan sumbangan RM622,800 daripada McDonald bagi meringankan beban golongan masyarakat yang memerlukan.

Antara inisiatif kemasyarakatan diumumkan termasuklah pembayaran zakat perniagaan RM101,000 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Selain itu McDonald’s Malaysia turut membantu 1,900 kanak-kanak daripada 63 sekolah di negeri ini dengan sumbangan pek ‘Kembali ke Sekolah’ pada tahun ini.

— BERNAMA





Source link

Related Posts