Uncategorized

Kerajaan tawar Gamuda RM6.2 bilion untuk ambil alih empat lebuh raya bertol

Kerajaan tawar Gamuda RM6.2 bilion untuk ambil alih empat lebuh raya bertol 1


KUALA LUMPUR : Kerajaan telah mengemukakan tawaran rasmi untuk mengambil alih empat lebuh raya bertol di Lembah Klang.

Ianya adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART, kata Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Menteri Kewangan itu, tawaran pengambilalihan tersebut berjumlah RM6.2 bilion dan dibuat kepada Gamuda Berhad selaku syarikat pemegang konsesi keempat-empat lebuh raya berkenaan.

Katanya, jumlah berkenaan akan dibiayai melalui penerbitan bon yang akan dilakukan kerajaan dalam masa terdekat.

Senarai tawaran harga yang ditawarkan kepada Gamuda oleh Kerajaan pada 21 Jun 2019.
Pengambilalihan akan dilaksanakan oleh syarikat tujuan khas (SPV) yang merupakan anak syarikat kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Guan Eng berkata, kejayaan tawaran tersebut tertakluk kepada sokongan pemegang saham dan pemiutang syarikat konsesi, serta kelulusan jemaah menteri.

Ia juga tertakluk kepada pengesahan yang sewajarnya (due diligence).

Ujarnya lagi, pengambilalihan ini akan membolehkan kerajaan menghapuskan kutipan tol dan menggantikannya dengan sistem caj kesesakan yang dijangka akan menjimatkan RM180 juta kepada pengguna lebuh raya.

Februari lalu, kerajaan mengumumkan hasrat untuk melaksanakan sistem tersebut yang membolehkan pengecualian tol diberikan bagi penggunaan lebuh raya dari jam 11 malam hingga 5 petang, manakala pengurangan kadar tol sehingga 30 peratus bagi waktu bukan puncak.

Guan Eng menambah, pengambilalihan empat lebuh raya ini juga akan membolehkan kerajaan menghentikan pembayaran pampasan kepada syarikat konsesi untuk tidak meningkatkan kadar tol, yang dijangka akan menjimatkan RM5.3 bilion.

Katanya, sekiranya lulus, pengambil alihan tersebut akan berkuat kuasa 31 Dis 2019.

BACA: Kerajaan cadang ambil alih 4 tol Lembah Klang, tetapi…

BACA: Pas minta tol percuma di empat lebuh raya dikaji





Source link

Related Posts