Artikel Terkini

Ketahui Asas Equity Crowdfunding (ECF): Pelaburan Dengan Modal Rendah Tapi Potensi Pulangan Yang Tinggi


Terdapat banyak cara yang boleh digunakan oleh pemilik bisnes yang sedang giat berkembang untuk mendapatkan modal supaya bisnes mereka boleh berkembang lebih laju lagi. Di antara mere yang melabur dalam bisnes yang sedang berkembang ini ialah venture capital, private equity firm, micro venture capital, accelerator dan angel group.

Tetapi, semua jenis pelabur yang disebutkan tadi mempunyai dana yang cukup besar. Salah satu cara lain yang boleh digunakan oleh pemilik bisnes untuk memperoleh dana juga adalah melalui equity crowdfunding (ECF).

Apa Itu ECF?

ECF ialah salah satu cara para pemilik bisnes memperoleh dana secara atas talian dan dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia. Maknanya, sesiapa sahaja boleh melabur ke dalam syarikat yang sedang berkembang tersebut, termasuklah kita.

Kebanyakan syarikat yang sedang berkembang memang memerlukan modal yang sangat besar untuk mengembangkan lagi perniagaan masing-masing. Kalau dulu, memang venture capital, private equity firm, micro venture capital, accelerator dan angel group-lah yang berpeluang untuk melabur dalam syarikat ini.

Tapi sekarang tidak lagi. Kita pun boleh! Buat pengetahuan semua, ECF ni dah bermula di Malaysia sejak 2015.

Struktur ECF

Tiga komponen utama yang menjadikan ECF berfungsi ialah pemilik bisnes, pemilik platform dan pelabur.

Pelabur itu ialah kita, biasanya pelabur runcit dan mempunyai modal yang kecil. Pemilik platform ialah platform yang melalui platformnyalah pemilik bisnes dan pelabur berinteraksi untuk proses jual beli saham. Yang terakhir, pemilik bisnes iaitu pemilik kepada bisnes yang memerlukan modal.

Mekanisme ECF

Mudah saja. Pemilik bisnes akan iklankan tawaran mereka dalam platform. Di antaranya ialah:

  • Berapa
    jumlah minimum dan maksimum modal yang diperlukan
  • Berapa
    jumlah syer (share) yang ditawarkan berdasarkan modal yang diperlukan
    tersebut
  • Harga
    setiap syer
  • Minimum
    jumlah syer yang setiap pelabur perlu beli, jika berminat

Pelabur hanya perlu daftar akaun dan pilih bisnes yang mereka mahu laburkan wang mereka ke dalamnya dan pindahkan wang ke akaun platform ECF.

Semudah A, B dan C.

Apa Platform ECF Yang Ada?

Seperti yang kita tahu, Malaysia sangat bertuah kerana Suruhanjaya Sekuriti (SC) sangat mengambil berat kepentingan pelabur. Aktiviti ECF dikawal selia oleh SC dan mana-mana syarikat yang ingin beroperasi sebagai platform ECF perlu memperoleh lesen daripada SC.

Di bawah adalah merupakan senarai syarikat yang beroperasi sebagai platform ECF, mengikut laman web SC:

  1. Leet Capital (1337 Ventures Sdn Bhd)
  2. Ata Plus (Ata Plus Sdn Bhd)
  3. Crowdo (Crowdo Malaysia Sdn Bhd)
  4. Ethis Ventures Sdn Bhd (akan dilancarkan platformnya tahun depan)
  5. Eureeca (Eureeca SEA Sdn Bhd)
  6. FundedByMe (FBM Crowdtech Sdn Bhd)
  7. Fundnel (Fundnel Technologies Sdn Bhd)
  8. MyStartr (MyStartr Sdn Bhd)
  9. PitchIN (Pitch Platforms Sdn Bhd)
  10. CrowdPlus.asia (Crowdplus Sdn Bhd)

Amaun Terendah Yang Diperlukan Untuk Melabur?

Tiada jawapan yang tetap kerana ia adalah berdasarkan pemilik bisnes. Tapi, rekod terendah ialah RM10 oleh Skolafund. Bahkan Skolafund merupakan bisnes pertama yang berjaya mencapai exit plan atau misi mereka.

Senang cerita, ECF membuka peluang kepada pelabur runcit dan pelabur yang mempunyai modal yang rendah. Manakala, pulangan jika bisnes tersebut berjaya mencapai exit plan mereka, pastinya lumayan.

Menggiurkan, bukan? Kita boleh cuba buka dan daftar di laman-laman web platform di atas.

Tapi ingat! Pelaburan tidak semestinya untung. Kita berkemungkinan juga untuk hilang wang pelaburan.

Selamat mencuba!

Ditulis oleh Afif Amir, sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dalam bidang Actuarial & Financial Mathematics. Meminati dunia pelaburan terutama berkaitan saham, equity crowdfunding dan pelaburan digital. Full time PhD & trader, part-time investor.



Source link