Artikel Terkini

Keuntungan bersih 2019 Petronas gas meningkat kepada RM1.93 bilion



KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Petronas Gas Berhad bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2019 meningkat kepada RM1.93 bilion daripada RM1.79 bilion pada 2018.

Hasil, bagaimanapun, rendah sedikit pada RM5.45 bilion daripada RM5.49 bilion tahun sebelumnya berikutan penurunan pendapatan daripada pengangkutan gas dan terminal pengegasan semula gas asli cecair (LNG) Pengerang, disebabkan pelaksanaan Peraturan Berasaskan Insentif.

Bagaimanapun, ini diimbangi oleh hasil tinggi daripada bahagian pemprosesan gas dan utiliti yang diperoleh daripada peningkatan caj tempahan di bawah tempoh kedua Perjanjian Pemprosesan Gas dan harga jualan yang lebih tinggi, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pada suku keempat, keuntungan bersih Petronas Gas meningkat kepada RM485.27 juta berbanding RM300.59 juta bagi tempoh sama pada 2018.

Hasil pada suku itu turun kepada RM1.37 bilion daripada RM1.38 bilion tahun sebelumnya, berikutan hasil yang lebih rendah daripada bahagian pengangkutan gas dan terminal pengegasan semula LNG Pengerang.

Syarikat berkenaan telah meluluskan dividen interim keempat sebanyak 22 sen sesaham biasa berjumlah RM435.3 juta dan dividen interim khas sebanyak 10 sen sesaham biasa berjumlah RM197.9 juta.

Mengenai prospek masa depan, ia berkata bahagian pemprosesan gas syarikat dijangka kekal stabil susulan aliran pendapatan yang kukuh dan berterusan di bawah tempoh kedua Perjanjian Pemprosesan Gas, berkuat kuasa dari 2019 hingga 2023.

— BERNAMA





Source link

Related Posts