Artikel Terkini

Kisah di sebalik foto dua ekor tikus bergaduh yang menang anugerah



SEORANG jurugambar, Sam Rowley, yang memenangi anugerah fotografi hidupan liar dari Natural History Museum London, berharap foto ‘dua ekor tikus sedang bertarung’ akan membuka mata masyarakat tentang satu sisi kehidupan di kotaraya London yang tidak diteroka banyak pihak.

Rowley mengakui dia menerima pandangan pelik daripada orang ramai ketika berbaring di lantai di banyak stesen kereta api sekitar London demi mendapatkan shot yang diingini.

“Ramai yang terkejut dan ada yang nampak tidak selesa, tetapi apabila saya menjelaskan sebab saya berbuat demikian, mereka okey,” kata Rowley kepada CNN.

Rowley, seorang jurugambar bersama BBC, mendapat idea untuk mengambil gambar seumpama itu selepas menerima video yang dihantar seorang rakan, yang memaparkan dua ekor tikus bergaduh di tepi jalan.

Jurugambar berusia 25 tahun itu kemudiannya menghabiskan masa kira-kira seminggu, singgah ke beberapa platform stesen kereta api dan berada di lokasi dari malam sehingga awal pagi.

“Saya agak kecewa dengan apa yang saya dapat pada mulanya, tetapi usaha pasti akan membuahkan hasil.

“Anda harus menceritakan kisah tentang bagaimana manusia dan haiwan ada perkaitannya.

“Kita selalu fikir tentang haiwan liar yang besar dan gah, tetapi saya rasa kita perlu juga menghargai haiwan kecil, yang turut berjuang untuk terus hidup,” tambahnya.

Pengarah Natural History Museum London, Michael Dixon memaklumkan penyertaan itu dipilih kerana ia memberikan gambaran menarik tentang bagaimana haiwan hidup dalam persekitaran yang dikuasai manusia.

Foto itu dipilih sebagai pemenang menerusi undian orang ramai, menewaskan 48,000 penyertaan lain.





Source link