Artikel Terkini

Konsep Moden Kontemporari Untuk Laman Hebat


Memiliki sebuah laman yang indah bukan sahaja menuntut kos malah masa yang banyak. Oleh itu sebelum anda merancang memiliki sebuah landskap menghiasi kediaman, fikirkan tanggungjawab yang perlu diberi bagi memastikan laman yang diidamkan cukup sempurna.

Seperti kediaman yang di kunjunggi penulis yang terletak di Rawang. Di miliki oleh seorang CEO syarikat hartanah, kediaman ini menjadi weekend house untuk lari dari kesibukan kota. Laman yang ditata ringkas namun mempunyai identiti tersendiri ini merupakan sentuhan pereka landskap yang tidak asing lagi iaitu Encik Suhaimi Saadon.

Perkenalan lebih dari 10 tahun menyebabkan pemilik yakin dengan air tangan pereka yang selalu menepati cita rasa. “Laman yang belum mencecah usia setahun ini masih banyak yang perlu ditambah baik dan ia dilakukan secara berperingkat,” jelas pereka memulakan kata.

Memandangkan kediaman ini adalah weekend house dan ada kalanya pemilik tidak berada di rumah dalam tempoh yang lama, matlamat utama pada keseluruhan dekorasi laman ini perlulah less maintenance. Oleh itu, dari pemilihan softscape hinggalah hardscape perlu diperincikan bagi memudahakan urusan pemilik menikmati laman yang sempurna.

Memandangkan ruang landskap ini berbentuk concave, pereka bijak mengolah dengan menjadikan laluan hadapan ke laman yang sempit sebagai transaksi sebelum menuju ke hidden gateway yang menjadi laman utama pada kediaman ini. “Walaupun laman ini masih muda, namun impak dekorasinya telah berjaya dihasilkan kerana kebanyakan tanaman yang dipilih bersaiz matang,” tambah pereka.

Memberi privasi optimum pada lot kediaman ini, pereka memilih gabungan Eugenia Oleina dengan gabungan Diospyros Buxifolia yang mempunyai silara daun padat sebagai tanaman sempadanan. Lantai laman di laluan transaksi ini di hampari batu pemijak konkrit ringkas yang dipadukan bersama cebisan granite. Gabungan kemasan lantai ini bukan sahaja membentuk permukaan yang polos malah mampu mengelak ditumbuhi rumput yang akan menambahkan kerja-kerja penyelenggaraan.

Menyatukan kemasan lantai laman, tanaman renek dan penutup bumi diselitkan di ruang-ruang tertentu untuk memberi keseimbangan rekaan lantai laman. Antara tanaman yang digunakan adalah seperti Ophiopogon Jaburan, Chlorophytum Comosum, Calateha dan pelbagai lagi.

Menyusuri laluan ini, dihujungnya tersedia laman utama yang menjadi ruang fokus kepada aktiviti outdoor pemilik. Patio berkonsep terbuka disediakan memberi peluang kepada pemilik melakukan pelbagai aktiviti dengan selesa. Memilih jubin bermotifkan floral sebagai kemasan, mengimbau susun galur pemilik yang lahir dari keluarga peranakan. Ruang patio ini juga mudah diakses dari ruang makan kediaman.

Sekaligus, penyediaan patio menambah nilai seni bina kepada keseluruhan dekorasi kediaman ini. Masih mengekalkan pemilihan tanaman less maintenance, namun di ruang landskap utama ini paduan tanaman lebih kompleks. Masih selesa menggunakan Diospyros Buxifolia sebagai tanaman utama, bahagian lantainya dihias dengan tanaman renek pelbagai tekstur bagi membentuk hiraki yang seimbang.

Memandangkan matlamat utama laman perlu less maintenance, pereka memilih banyak tanaman yang tidak berbunga. “Namun di sudut belakang laman, Plumeria Pudica yang berbunga putih dan dahan yang tinggi sebagai tanaman pagaran memandangkan ruang yang tersedia sangat terhad dan membataskan pertumbuhan tanaman berkanopi padat,” terang pereka.

Pemilihan perabot di laman amat ringkas, cukup sekadar bangku metal bersadur rona merah menjadi focal point di ruang patio ini. Treadmark bagi sentuhan Encik Suhaimi Saadon, penggunaan pasu-pasu besar yang mempunyai karakter tersendiri menjadikan laman ini kelihatan lebih hidup.

Bagi memastikan laman indah yang tersedia dapat dimanfaatkan tidak kira di waktu siang mahupun malam, Pencahayaan optimum turut disediakan. “Walaupun tersedia pencahayaan dari lampu pendant, ia tidak mencukupi untuk menghidupkan suasana malam laman. Oleh itu, penggunaan spot light yang diletakkan di bawah pokok bukan sekadar memberi pencahayaan tambahan malah meningkatkan nilai karakter laman di waktu malam,” jelas pereka.

Menghasilkan sesebuah laman memang mudah. Namun, untuk memastikan laman yang diidamkan sentiasa dalam keadaan baik dan dapat dinikmati bila-bila masa, bukan sahaja penyelenggaraan yang menjadi faktor utama. Pemilihan tanaman dan padanan perabot laman juga memainkan peranan penting.

Pemilik:
Mr. Jimmy
Jenis kediaman:
Super link (corner lot)
Lokasi:
Rawang
Konsep:
Tropika kontemporari
Pereka dan kontraktor landskap:
Encik Suhaimi Saadon



Source link