Artikel Terkini

Kuih kelupis juadah wajib etnik Brunei


BAGI mereka yang tinggal di Semenanjung, mungkin jarang sekali berpeluang merasai keenakan makanan tradisi etnik Brunei iaitu kuih kelupis.

Makanan tradisional berasaskan santan dan beras pulut itu begitu sinonim dalam kalangan masyarakat di pantai barat Sabah, malah tanpa hidangan itu, majlis dianggap tidak lengkap.

Menurut penduduk Kampung Brunei, Membakut, Junaidah Jual, 43, proses membuat kuih  kelupis bermula dengan memarut kelapa tua bagi mendapatkan santan sebelum beras pulut dimasak dalam tempoh tertentu mengikut kuantiti penghasilan.

Menggunakan resepi turun-temurun, katanya, etnik Brunei lebih gemar membungkus kuih kelupis menggunakan daun nyirik berbanding daun-daun lain.

“Biasanya daun nyirik memiliki aroma wangi, dan begitu juga dengan daun pisang.

“Tetapi biasanya etnik Brunei memang menggunakan daun nyirik kerana ia mempunyai corak yang tersendiri.

“Apabila kita hidang, ia nampak cantik dan rasanya juga berbeza. Lebih menarik, ia boleh dimakan dengan kuah kacang dan kari,” katanya kepada Astro AWANI.

Jelas beliau, kuih kelupis menjadi hidangan wajib masyarakat itu setiap kali menjelang Hari Raya, kenduri dan majlis perkahwinan.

Proses penghasilan kuih kelupis yang melalui beberapa peringkat juga lebih bermakna apabila penduduk setempat melakukan acara “mengelupis” (membungkus) secara bergotong-royong.

“Biasanya majlis kahwin, penduduk kampung akan bergotong-royong kerana ia melibatkan kuantiti yang banyak.

“Kuih kelupis akan dimasak sekurang-kurangnya 40 kilogram pada majlis kahwin dan biasanya sekitar 15 hingga 20 orang datang untuk membungkus,” katanya.

Junaidah (kiri) bersama Hajjah Dayang Suma (tengah) antara individu yang mahir menghasilkan kuih kelupis. - Foto Astro AWANI/Hasimi Muhamad

Tambah Junaidah, kuih kelupis yang dihasilkan etnik Brunei di kampung itu turut menerima tempahan daripada pengusaha makanan di sekitar Sabah.

Demi memastikan kuih tradisi itu tidak ditelan zaman, golongan muda dalam kalangan etnik Brunei juga tidak melepaskan peluang mempelajari penghasilan juadah itu.

“Susah itu (penghasilan kuih kelupis) tidak juga sebab kita perlu betul-betul beri perhatian. Saya belajar buat kelupis pun daripada arwah bapa.

“Bahagian paling penting pembuatan kuih ini adalah kuantiti santan dan beras itu mesti sama banyak,” jelasnya.

Antara daerah yang terkenal dengan juadah kelupis termasuk Membakut, Menumbok, Kuala Penyu, Papar dan Sipitang.





Source link