Uncategorized

Kumpulan TH Properties serah Masjid Bandar Enstek kepada kerajaan negeri

Kumpulan TH Properties serah Masjid Bandar Enstek kepada kerajaan negeri 1



Kumpulan TH Properties serah Masjid Bandar Enstek kepada kerajaan negeri 2

SEREMBAN: Kumpulan TH Properties pada Khamis menyerahkan Masjid Bandar Enstek kepada Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan untuk kegunaan umat Islam sebagai pusat ibadah, pendidikan dan pengembangan syiar Islam.

Pengarah Urusan Kumpulan TH Properties Datuk Roszali Othman menyerahkan masjid itu kepada Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, dengan disaksikan Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad.

Aminuddin berkata pembinaan masjid itu merupakan projek tanggungjawab sosial korporat THP Enstek Development Sdn Bhd iaitu anak syarikat TH Properties yang dibina dengan kos lebih RM4.5 juta.

“Sejumlah RM1 juta daripada kos itu dibiayai oleh penduduk setempat melalui inisiatif Jawatankuasa Penaja Pembinaan Masjid Bandar Enstek di samping tambahan sumbangan RM500,000 lagi untuk peralatan dan perkakas masjid.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan TH Properties dan penduduk Bandar Enstek kerana kejayaan pembinaan masjid yang indah ini, yang merupakan keberhasilan penyatuan komitmen yang utuh di antara Kumpulan TH Properties dengan penduduk setempat,” katanya pada majlis Penyerahan dan Pengisytiharan Masjid Bandar Enstek di sini, pada Khamis.

Aminuddin berkata kewujudan masjid ini bakal membuka ruang untuk mengeratkan silaturrahim, menyemarakkan semangat kejiranan serta menjadi medan untuk menerap dan memperkukuhkan aspek perpaduan.

“Saya berharap agar masjid ini dapat berfungsi dengan berkesan selaras dengan kehendak dan tuntutan agama dengan menjadikannya sebagai salah satu pusat pembangunan umat terbaik,” katanya.

Pada majlis itu juga, Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad turut mengisytiharkan bangunan masjid baharu itu sebagai masjid Bandar Enstek.

Masjid Bandar Enstek yang berkeluasan 2.62 ekar ini dilengkapi dengan ruang solat yang boleh memuatkan 1,000 jemaah serta 85 tempat letak kereta dan 74 tempat motosikal disediakan. Turut disediakan bilik imam, bilik mesyuarat dan bilik jenazah.

Terdahulu, kumpulan TH Properties turut membangunkan Pusat Komuniti Islam Bandar Enstek yang terdiri daripada dewan pelbagai guna bersebelahan masjid ini di mana kini digunakan untuk aktiviti kemasyarakatan, riadah, pembelajaran kelas agama dan fardhu ain.

— BERNAMA





Source link

Related Posts