Artikel Terkini

KWSP perlu diberi peluang melabur lebih giat di luar negara – MTUC


KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berharap kerajaan akan memberi semua peluang yang diperlukan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melabur di luar negara secara lebih giat untuk mengimbangi kelembapan ekonomi domestik.

Presiden, Datuk Abdul Halim Mansor berkata tabung persaraan itu telah mencatatkan pulangan daripada pelaburan di luar negara yang amat positif sehingga membolehkannya mengumumkan dividen memuaskan untuk 2019 meskipun persekitaran ekonomi yang mencabar.

“Dalam konteks ini, MTUC yakin KWSP akan meneliti dan jika perlu, membuat penambahbaikan terhadap proses dan prosedur dalamannya untuk meluluskan pelaburan di dalam dan di luar negara bagi memaksimumkan pulangan seterusnya memberi dividen yang lebih baik.

“Pada masa sama, MTUC menggesa kerajaan memastikan dasar negara sentiasa dikaji semula dan diperbaiki untuk mewujudkan persekitaran yang akan merangsang pelaburan dan meningkatkan produktiviti pekerja,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

KWSP pada Sabtu mengumumkan dividen 2019 sebanyak 5.45 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 5.0 peratus bagi Simpanan Shariah, yang masing-masing melibatkan agihan berjumlah RM41.68 bilion dan RM4.14 bilion.

Bagi peringkat domestik, Abdul Halim berkata Indeks FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) turun sebanyak enam peratus tahun lepas, menjadikan pasaran saham negara antara yang terendah di rantau ini.

Ia secara langsung menunjukkan kesukaran yang dihadapi KWSP dalam memberikan dividen lebih tinggi kepada pencarum.

Pasaran ekuiti tempatan turut lemah berikutan perkembangan geopolitik dan perang perdagangan Amerika Syarikat-China di peringkat global, menjadi antara faktor yang membantutkan ekonomi global.

“Semua perkembangan ini memberi kesan kepada pelaburan KWSP yang menyebabkan dividen 2019 lebih rendah namun kami yakin KWSP sedia mengambil langkah sewajarnya untuk melihat jika dasar pelaburannya dapat diperkukuhkan bagi menangani cabaran ekonomi mendatang bagi memastikan pulangan lebih baik mulai 2020 dan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata dasar yang dinamik perlu direalisasikan untuk menangani cabaran di era digital dalam dunia tanpa sempadan.

Ini dapat membantu melonjakkan syarikat Malaysia dan syarikat berkaitan kerajaan untuk menjadi peserta global yang benar-benar kompetitif serta pada masa sama membantu KWSP mencapai pulangan lebih baik, katanya.

— BERNAMA




Source link

Related Posts