Uncategorized

KWSP Untung RM12.32 Bilion Pada Suku Kedua 2019, Tapi Ada Benda Yang Tak Kena?

KWSP Untung RM12.32 Bilion Pada Suku Kedua 2019, Tapi Ada Benda Yang Tak Kena? 1


Eh bukan ke untung tu bagus? Lagi-lagi dalam situasi ekonomi yang tak menentu, turun naik pasaran saham yang volatile? Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih mampu menjana keuntungan yang tinggi, jadi apa yang tak bestnya?

Jom kita dengarkan kupasan menarik daripada Tuan Razali Razman, seorang Perancang Kewangan Islam (IFP), penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit berkenaan isu ini.

KWSP Untung RM12.32 Bilion

Beberapa hari lepas KWSP mengumumkan keuntungan suku tahun kedua 2019 berjumlah RM12.32 bilion, hanya sedikit lebih rendah berbanding suku sama tahun lepas. Ini tidak menghairankan memandangkan kedudukan ekonomi dan pasaran semasa.

Tetapi apa yang membimbangkan dan tidak diumumkan secara meluas ialah prestasi pendapatan komprehensif KWSP, yang turut mengambil kira nilai aset yang belum direalisasi.

Maklumat yang didedahkan hanya pendapatan terealisasi. Ini bermaksud pendapatan dividen daripada saham, faedah daripada bon dan instrumen pendapatan tetap dan mungkin daripada pelaburan yang telah dijual.

Tetapi jika jika menggali sedikit lebih dalam (lihat gambar), dengan mengkaji penyata pendapatan komprehensif dalam laporan tahunan 2018, satu gambaran berbeza boleh dilihat.

(Dalam laporan tahunan ada dua penyata untung, iaitu penyata untung rugi biasa dan penyata pendapatan komprehensif).

Pada 2018, kita akan dapati bahawa KWSP mengalami kerugian sebanyak RM49 bilion (kuning) dari segi nilai pelaburan ekuiti yang belum direalisasi (maksudnya penurunan harga saham yang dimiliki dan masih dipegang).

Kerugian ini ditampung oleh untung RM18 bilion daripada jualan saham (telah direalisasi). Kemudian selepas ditambah untung operasi daripada penyata untung rugi biasa berjumlah RM31 billion. KWSP sebenarnya mencatatkan kerugian dalam penyata pendapatan komprehensif sebanyak kira-kira RM1.4 billion.

Apabila kita kaji Penyata Kedudukan Kewangan (Lembaran Imbangan) pula – lihat highlight kuning, kita akan dapati bahawa Rizab adalah negatif.

Tak perlu panik kerana kerugian yang dicatatkan daripada penyata pendapatan komprehensif ialah kerugian yang belum terealisasi. Dan masalah akan lenyap jika pasaran saham pulih.

Tetapi inilah standard atau kaedah yang digunakan untuk menilai dan mengkritik Tabung Haji (TH).

Jika KWSP adalah TH dan ada peraturan yang menetapkan bahawa Rizab tidak boleh negatif atau dengan kata lain nilai aset bersih mestilah lebih tinggi daripada nilai caruman pendeposit sebelum dividen boleh dibayar, maka adalah mustahil bagi KWSP untuk membayar dividen lebih 6% untuk tahun 2018.

Pada asasnya, KWSP telah sampai ke situasi defisit seperti TH, cuma baru berlaku buat satu tahun dan jumlahnya kecil berbanding jumlah aset.

Oleh kerana tiada undang-undang yang ditetapkan untuk memastikan nilai aset tidak lebih rendah daripada nilai caruman pekerja (seperti yang ditetapkan bagi TH), maka KWSP masih boleh membayar dividen yang agak tinggi.

Defisit ini hanya baru berlaku dan tiada masalah jika hanya berlarutan satu dua tahun, berbanding TH yang defisitnya berlaku agak lama dan nilai sesetengah pelaburan memang perlu dirosot nilai.

Tetapi persoalannya mengapa ada double standard dalam pengumuman dan penilaian berbanding TH.

Saya tahu pengumuman KWSP menepati accounting standards, dan maklumat tentang pendapatan komprehensif telah dibuat dalam laporan tahunan, tetapi bagi saya kedudukan aset dan penyata pendapatan komprehensif ini perlu didedahkan juga apabila mengumumkan prestasi untung.

Kembali kepada pengumuman keputusan S2 tahun ini. Saya bimbang nilai aset belum direalisasi merosot lagi pada tahun ini kerana keadaan pasaran semasa.

Tetapi kita tidak tahu kerana keadaan nilai pelaburan langsung tidak diumumkan kepada orang ramai, dan hanya boleh diketahui pada laporan tahunan akan datang.

Sekali lagi saya tekankan bahawa, selagi rosot nilai tersebut tidak berkekalan dan harga saham-saham dipegang naik kembali dalam tempoh satu atau tiga tahun, mungkin tiada masalah, cuma maklumat yang disampaikan tidak begitu telus (pendapat peribadi).

Bagi mereka yang kurang faham apa yang saya ceritakan di atas, saya berikan analogi mudah.

Andaikan isteri saya berikan RM100,000 kepada saya untuk dilaburkan dalam pasaran saham. Pada akhir tahun ini, daripada saham yang dibeli, dana isteri saya terima dividen RM4,000.

Tetapi malangnya kerana keadaan pasaran semasa, nilai pelaburan telah turun (akibat kejatuhan harga saham) kepada RM95,000.

Jadi nilai dana sekarang RM95,000 + RM4,000 = RM99,000. Maksudnya dana isteri rugi RM1,000.

Apa yang patut saya laporkan kepada isteri?

Adakah saya akan kata, “Sayang, tahun ini dapat dividen RM4,000. Untung 4%. Baguskan prestasi abang? Pasaran saham tengah rugi dan Trump buat kacau tapi abang masih boleh bagi untung 4%.”

Atau adakah saya patut kata, “Sayang, dana yang abang laburkan rugi RM1,000. Dapat dividen RM4,000 tapi nilai saham jatuh tinggal RM95,000. Jadi nilai dana sekarang hanya RM99,000. Jangan marah. Semua masih under control. Tahun depan abang akan recover kerugian.”

Pilihan kedua tentu kena marah. Tapi pandai-pandailah jelaskan yang keadaan pelaburan semasa sangat teruk. Mana tahu dia faham.

Masalahnya bukan isu prestasi. Setiap dana ada untung dan rugi. Malah, masalah juga bukan parti mana yang memerintah. Masalahnya ialah setiap kerajaan mahukan populariti dan tidak mahu orang ramai marah.

Kerugian pelaburan adalah sesuatu perkara biasa. Kita perlu mendidik orang ramai bahawa pelaburan adalah turun naik. Jika tiada dividen boleh dibayar, jangan bayar. Bila pasaran pulih dan untung lebih besar, maka bayarlah lebih.

Dengan membayar dividen tinggi apabila nilai pelaburan turun, KWSP beroperasi dengan andaian mereka pasti boleh recover nilai pelaburan. Mungkin mereka betul.

Tetapi seperti yang berlaku pada TH, kadangkala rosot nilai berpanjangan atau berkekalan dan kemelut lebih besar dialami pada masa depan.

Kredit: FB Razali Razman

KWSP Untung RM12.32 Bilion Pada Suku Kedua 2019, Tapi Ada Benda Yang Tak Kena? 2
KWSP Untung RM12.32 Bilion Pada Suku Kedua 2019, Tapi Ada Benda Yang Tak Kena? 3
KWSP Untung RM12.32 Bilion Pada Suku Kedua 2019, Tapi Ada Benda Yang Tak Kena? 4
KWSP Untung RM12.32 Bilion Pada Suku Kedua 2019, Tapi Ada Benda Yang Tak Kena? 5

KWSP Untung RM12.32 Bilion Pada Suku Kedua 2019, Tapi Ada Benda Yang Tak Kena? 6

Komen

komen





Source link