Artikel Terkini

Lanjutan moratorium perlu rundingan dengan koperasi – Angkasa



PETALING JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) menyarankan agar peminjam membuat rundingan terus dengan koperasi mengenai lanjutan moratorium yang tempohnya akan berakhir September ini.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, persetujuan kedua-dua pihak diperlukan untuk memastikan situasi menang-menang bagi peminjam dan koperasi.

“Terpulang kepada rundingan antara peminjam dan koperasi kerana ada sesetengah koperasi yang kukuh boleh menerima moratorium itu, dan ada yang sebaliknya.

“Angkasa hanya menguruskan potongan yang dibuat oleh koperasi, jadi sekiranya tiada potongan, apa yang kami nak uruskan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program redCOOP dan memperkenalkan produk Mukmin50+ dan Flexi68+ untuk sektor koperasi, di sini.

Abdul Fattah berkata koperasi berupaya memberikan lanjutan moratorium sekiranya mempunyai sumber dana dan modal yang kukuh.

“Jika koperasi yang menguruskan pinjaman daripada bank, koperasi perlu mengikut keputusan daripada bank,” katanya, sambil menyifatkan kebanyakan koperasi mempunyai kekangan untuk memberikan lanjutan moratorium kerana aliran tunai yang tidak kukuh.

Katanya daripada 14,625 buah koperasi dengan keanggotaan 6.05 juta ahli yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia, hanya 614 koperasi yang menyediakan pembiayaan kepada anggotanya.

Terdahulu, Angkasa dengan kerjasama syarikat pengendali rangkaian maya mudah alih, redONE Network Sdn Bhd (redONE) memperkenalkan program redCOOP bagi membangunkan program keusahawanan Telco khusus untuk anggota koperasi.

Menerusi program redCOOP, produk yang dilancarkan ialah pelan pascabayar Mukmin50+ serta Flexi68+ yang menawarkan pelan pascabayar, masing-masing bernilai RM50 dan RM68 sebulan.

Abdul Fattah berkata koperasi yang berdaftar akan menerima pakej kedai konsep redCOOP dan kemudahan latihan untuk jualan langsung serta dilantik sebagai penasihat jualan bagi produk di bawah program itu.

“Kami menyasarkan seramai 500,000 ahli koperasi akan menggunakan produk di bawah redCOOP menjelang 2021,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif redONE Mohammad Farid Mohamed Yunus berkata pihaknya menyasarkan pengguna redONE akan meningkat kepada 1.5 juta orang pada Disember 2020 berbanding 1.2 juta orang pada masa ini.





Source link

Related Posts