Artikel Terkini

Laporan Laksana ke-12: 10.24 juta terima BPN setakat 6 Julai



KUALA LUMPUR: Seramai 10.245 juta rakyat sudah menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) setakat 6 Julai.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Rabu berkata ia mewakili tahap pelaksanaan 97.5 peratus.

“Antara 26 Jun hingga 6 Julai, lebih kurang 30,000 penerima BPN menerima bayaran di cawangan-cawangan Bank Simpanan Nasionbal (BSN) seluruh negara,” katanya dalam Laporan Laksana Ke-12 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada Rabu.

Bagi bayaran kumpulan rayuan BPN pula, penerima yang lulus telah dibayar mulai 24 Jun lalu.

“Sehingga 6 Julai, 140,000 individu bujang dan isi rumah telah telah menerima bantuan BPN berjumlah RM120 juta daripada peruntukan RM139 juta.

“Bagi perayu yang lulus tetapi masih belum menerima bayaran, mereka boleh berbuat demikian dengan hadir ke Cawangan BSN seluruh negara sehingga 31 Disember 2020,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata menerusi Program Subsidi Upah pula, sehingga 6 Julai, sejumlah RM7.15 bilion diluluskan bagi 310,622 majikan yang memanfaatkan lebih 2.48 juta pekerja.

Bagi Moratorium Bayaran Balik Pinjaman Institusi Kewangan pula, beliau berkata sejak berkuatkuasa pada 1 April 2020 yang lalu, setakat 6 Julai 2020, nilai moratorium tersebut dianggarkan berjumlah RM51.4 bilion.

Jelasnya, sejumlah RM17.9 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh rakyat bernilai RM33.38 bilion.

Beliau berkata peminjam yang masih terkesan dari segi kewangan dan mungkin memerlukan kemudahan penyusunan serta penjadualan, mereka diseru agar mendaptkan bantuan awal dan bersasar menjelang berakhirnya tempoh moratorium pada 30 September ini.

“Ini dapat dibuat dengan menghubungi institusi kewangan masing-masing atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapat khidmat nasihat,” ujarnya.





Source link

Related Posts