Uncategorized

Lelaki berusia 100 tahun nikahi wanita 103 tahun



PERNAHKAH anda terfikir pada usia 100 tahun anda akan berkahwin lagi?

Pada pemikiran sebilangan besar daripada kita, apa perlunya mendirikan rumah tangga pada usia selanjut itu.

Tentu juga ramai yang skeptikal apakah cinta masih lagi wujud dalam diri warga emas seumur itu?

Realitinya, pada usia satu abad ada pasangan yang masih memiliki rasa cinta serta keinginan untuk mengasihi dan dikasihi.

Rasa itulah yang berputik dalam diri John Cook dan isterinya yang baru dinikahi minggu lalu, Phyllis Cook pasangan dari Ohio, Amerika Syarikat (AS).

Biar apa pandangan masyarakat sekalipun, namun John dan Phyllis tidak mampu menolak kehadiran cinta yang akhirnya menjodohkan mereka.

John seorang veteran Perang Dunia kedua baru sahaja menyambut kelahiran ke-100 manakala Phyllis akan berusia 103 tahun pada 8 Ogos ini.

“Sejujurnya, kami jatuh hati. Saya tahu ia kelihatan sedikit janggal bagi seseorang yang berusia seperti kami, tapi kami jatuh hati kepada satu sama lain,” kata Phyllis pula menyambung perbualan.

Perkahwinan John dan Phyllis bukan cerita dongeng bahkan pernikahan pasangan tertua itu juga bukan sesuatu yang perlu ditertawakan. Mereka bertemu kerana telah ditakdirkan.

Selama setahun, John dan Phyllis berpacaran sebelum menemui ilham untuk berkahwin. Itupun terjadi secara spontan.

Minggu lepas, pasangan tersebut ke mahkamah untuk menguruskan dokumen perkahwinan sebelum dimaklumkan bahawa mereka boleh sahaja berkahwin ketika itu juga.

“Kami tidak berancang untuk berbuat sebegitu (terus berkahwin pada hari berkenaan). Tapi sewaktu kami di sana (mahkamah) pegawai di sana berkata bahawa kami boleh dikahwinkan ketika itu juga.

“Saya terus katakan eloklah diselesaikan terus (perkahwinan),” kata John kepada portal berita WNWO yang berpusat di Ohio.

Berdasarkan sejarah juga, keluarga Phyllis rata-ratanya berumur panjang di mana ibunya sendiri meninggal dunia sewaktu berumur 106 tahun.

Ini merupakan perkahwinan kali ketiga buat John dan Phyllis.

Portal berita antarabangsa, CNN juga melaporkan, sebelum ini kedua-duanya pernah melalui dua perkahwinan, namun mereka kehilangan pasangan masing-masing.

Dan, kembali berkahwin kali ketiga ketika usia kedua-duanya sudah lanjut, ia memberi makna yang sangat signifikan buat John dan Phyllis.

“Kami rasakan bahawa kami serasi dari pelbagai cara, dan sangat suka meluangkan masa bersama-sama,” kata John lagi.

Faktor usia tidak pernah membataskan John dan Phyllis menikmati saat-saat romantik seperti pasangan muda lain.

Kedua-dua mereka sering meluangkan masa bersama ketika di meja makan, menikmati cahaya matahari dan menaiki skuter di kompleks kediaman khusus buat warga emas .

Sekalipun sudah bergelar pengantin baharu, namun John dan Phyllis tidak berkepit sepanjang masa, sebaliknya, mereka masih mempunyai ruang peribadi sendiri di kompleks kediaman itu.

John dan Phyllis masih mengekalkan bilik kediaman masing-masing, tanpa berkongsi walaupun mereka sudah berkahwin.

“Dia berada di tingkat atas, manakala saya di bawah,” kata Phyllis pula menyampuk.





Source link