Artikel Terkini

Lima Catalyst Utama Pelabur Dalam dan Luar Negara Minggu Ini (21-25 Oktober 2019)


Pasaran global terutamanya tukaran matawang asing bagi Pound Sterling dijangka bergerak volatile pada minggu ini berikutan keyakinan yang semakin pudar terhadap prospek perjanjian Brexit di antara United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU).

Pasaran pada minggu lalu agak
optimistik hingga menghasilkan kenaikan bersih oleh tiga indeks utama di Wall Street. Tumpuan pada hujung minggu
lalu terarah kepada undian Brexit di Parlimen UK yang berakhir dengan kekalahan
terhadap Perdana Menteri UK Boris Johnson pada hari Sabtu (19 Oktober 2019).

Disebabkan kekalahan itu, Johnson dipaksa oleh undang-undang untuk meminta lanjutan tarikh Brexit kepada EU walaupun sebelum ini beliau beberapa kali berikrar untuk UK keluar daripada Kesatuan Eropah pada 31 Oktober 2019.

Dalam perkembangan lain, laporan
pendapatan di Wall Street telah
bermula pada minggu lalu dengan beberapa bank-bank utama merekodkan pendapatan
yang kukuh berbanding jangkaan pelabur.
Ini sekaligus telah membawa indeks utama Wall Street ke paras lebih tinggi
berbanding minggu sebelum itu.

Walaubagaimanapun,
beberapa data ekonomi penting mencatat bacaan kurang memberangsangkan dengan
laporan jualan runcit di Amerika Syarikat yang meleset daripada jangkaan  pelabur.

International Monetary Fund (IMF) pula menurunkan unjuran pertumbuhan
ekonomi global pada tahun ini dari 3.5% kepada 3%. Bukan itu sahaja, laporan
negatif dari China menunjukkan pertumbuhan ekonomi negara itu perlahan ke paras
6% pada suku ketiga tahun 2019 berikutan kelemahan permintaan domestik.

Awal dagangan minggu ini (21 Oktober
2019) menunjukkan saham Asia bergerak lebih tinggi dengan kenaikan saham China di
mana pelabur melihat harapan dalam rundingan dagang AS-China dan juga prospek
kemasukan aliran modal yang lebih besar ke Hong Kong.

Berikut
adalah tema utama yang bakal menjadi perhatian para pelabur sepanjang minggu
ini.

1. Brexit Ditangguhkan Sekali Lagi?

Sudah tentu ramai yang kecewa dengan perkambangan baru dalam isu Brexit selepas undian Parlimen UK pada hari Sabtu (19 Oktober 2019). Isu yang banyak memperbaiki sentimen pasaran sejak dua minggu lalu nampaknya berakhir dengan satu lagi lanjutan tempoh akhir Brexit, apabila perjanjian Brexit Boris Johnson dan pihak EU tidak mendapat sokongan yang mencukupi di Westminster.

Ahli Parlimen secara majoriti menolak
cadangan Brexit itu sekaligus memaksa beliau untuk mendapatlkan lanjutan tarikh
akhir keluarnya UK dari EU.

Walaubagaimanapun,
Johnson dalam kenyataannya berkata beliau menentang lanjutan tarikh itu dan
salah seorang menteri Kerajaan Britain, Michael Gove menegaskan UK akan keluar
pada 31 oktober ini dan akan berusaha mendapatkan persetujuan melalui parlimen.

Menteri luar, Dominic Raab juga
memberitahu agensi berita BBC bahawa beliau yakin kerajaan akan mendapat
sokongan yang mencukupi pada minggu ini.

Di
pihak Eropah, mereka dijangka akan memberi prioriti kepada lanjutan berbanding
membuat keputusan dalam masa yang singkat. Pemimpin EU akan cuba mengelak
situasi ‘Hard-Brexit’ dan mustahil
bagi mereka untuk menolak permohonan lanjutan tarikh Brexit.

Pasaran UK dan matawang Pound Sterling dijangka bergerak tidak menentu pada minggu ini.

2. Prospek Perjanjian Amerika Syarikat – China Makin Positif

Pegawai daripada kedua-dua pihak terus
memberikan komen-komen positif tentang prospek termeterainya perjanjian interim
pada pertengahan bulan November.

Hal ini sekaligus membawa kedua-dua negara ke arah penamatan perang dagang yang
banyak memberi ketidaktentuan kepada ekonomi global sejak tahun lalu.

Presiden Donald Trump meluahkan rasa puas hati dan keyakinannya terhadap perjanjian fasa satu yang berkemungkinan akan menghentikan tariff tambahan terhadap China. Keyakinan Trump ditambah lagi dengan kesudian China untuk mengimport $50 bilion produk pertanian dari Amerika Syarikat.

Hal ini mungkin dapat dimeterai seawal
bulan hadapan apabila Trump dan Xi Jinping bertemu dalam perhimpunan negara G20
pada bulan hadapan.

Dalam perkembangan terbaru, ketua perunding China Liu He dalam ucapannya menyebut rundingan antara kedua-dua negara semakin baik. Tambahnya, “ia akan membuahkan faedah kepada China, AS dan dunia jika ketegangan perang dagang ini dapat dihentikan. Ia adalah apa yang diharapkan oleh pengeluar dan pengguna.”

3. Mesyuarat Terakhir Mario Draghi

Selepas mengembalikan rangsangan besar
monetari kepada ekonomi Zon Eropah, European
Central Bank
(ECB) pada minggu ini dijangka tidak membuat perubahan kepada
dasar dan fokus akan lebih terarah kepada penjelasan lanjut tentang rangsangan
yang diumumkan pada bulan September.

Mesyuarat
ECB kali ini adalah yang terakhir dipengerusikan oleh Mario Draghi sejak
dilantik menjadi Presiden ECB pada tahun 2011. Beliau pernah berkhidmat dengan
Goldman Sachs pada tahun 2002 sehingga 2005 sebelum menjadi Gabenor Bank Pusat
Itali pada tahun 2005-2011.

Draghi akan digantikan oleh pengerusi
semasa IMF iaitu Christine Lagarde bermula pada 1 November 2019.

ECB dalam mesyuarat sebelum ini telah memotong kadar faedah dan memutuskan untuk mengembalikan semula Pelonggaran Kuantitatif (QE) iaitu satu program pembelian bon bagi merangsang ekonomi pada kadar $20 bilion euro sebulan yang akan bermula pada 1 November 2019.

4. Laporan Aktiviti Ekonomi Zon-Eropah, PMI

Kebimbangan
terhadap situasi terkini ekonomi Zon-Eropah adalah sebab mengapa European Central Bank (ECB) memulakan
semula pelonggaran kuantitatif (QE) dan juga menurunkan kadar faedah pada bulan
lalu.

Bacaan indeks PMI yang akan
dikeluarkan pada Khamis (24 Oktober 2019) penting kerana ia adalah petunjuk
awal tentang keadaan semasa kesihatan ekonomi.
Tinjauan PMI ini dibuat terhadap perniagaan
dan juga pengurus pembelian yang mana sering terkesan lebih awal kepada
perubahan ekonomi.

Mario
Draghi menggesa Zon-Eropah pada bulan lalu untuk mengembangkan fiskal negara
masing-masing bagi merangsang pertumbuhan ekonomi yang kian perlahan.

Bacaan PMI semakin merosot sejak
beberapa bulan lepas yang mana meningkatkan kebimbangan berlakunya kemelesetan.
Sektor pembuatan Jerman adalah yang paling teruk
merosot dengan kejatuhan bacaan ke paras 41.4 pada September jauh dari penanda
aras keseimbangan 50 mata yang membezakan kemelesetan dan pengembangan dalam
ekonomi.

5. Perkembangan Pasaran Malaysia

Bursa Malaysia sedikit pulih pada minggu lalu apabila merekodkan aliran masuk modal asing berjumlah RM184.6 juta pada minggu berakhir 18 Oktober berbanding aliran keluar RM276.6 juta pada minggu sebelum itu. Hal ini dinyatakan sendiri oleh MIDF Equities Research pada hari Isnin (21 Oktober 2019).

Indeks FBM KLCI mengakhiri dagangan hari Isnin dengan hanya susut 0.22 mata (0.01%) menjadi 1,570.93 mata. Sebanyak 380 kaunter mencatat keuntungan, 438 kaunter rugi dan selebihnya 391 kaunter tidak berubah.

Dalam perkembangan kewangan syarikat pada suku ketiga, Digi.Com Berhad merekodkan keuntungan bersih yang berkurangan kepada RM356.1 juta berbanding RM392.54 yang dicatat pada tempoh sama pada tahun 2018.

Terdapat satu data penting yang akan dikeluarkan pada minggu ini iaitu bacaan kadar inflasi untuk bulan September. Bacaan inflasi tahunan pada bulan Ogos meningkat ke 1.5% daripada hanya 1.4% pada bulan sebelum itu. Kenaikan ini dipacu oleh komponen harga makanan yang mencapai paras tertinggi iaitu 16 mata.

Data inflasi penting untuk dilihat kerana pengaruhnya terhadap penetapan dasar monetari oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kerana mandat bank pusat adalah untuk mengekalkan kestabilan harga di dalam ekonomi. Data kali ini akan dikeluarkan pada hari Rabu (21 Oktober 2019) pada pukul 12 tengah hari dengan jangkaan penurunan kepada 1.4%.

Bacaan
kali ini akan diteliti oleh BNM memandangkan mesyuarat bank pusat akan
berlangsung pada minggu hadapan.

Sumber Rujukan:

  1. https://www.bloomberg.com/news/articles/2019-10-20/five-things-you-need-to-know-to-start-your-day
  2. https://www.investing.com/news/stock-market-news/asian-share-markets-cautious-pound-stumbles-on-brexit-drama-1999964
  3. https://www.reuters.com/article/us-eurozone-markets-ecb-graphic/a-quiet-exit-for-draghi-five-questions-for-the-ecb-idUSKBN1X00HR
  4. https://www.channelnewsasia.com/news/business/sterling-pound-brexit-boris-johnson-forex-currency-britain-12019624
  5. https://www.investing.com/analysis/europe-front-and-center-in-upcoming-weeks-market-drivers-200475411
  6. https://www.thestar.com.my/business/business-news/2019/10/21/klci-closes-nearly-flat-banks-slip-petronas-stocks-up
  7. https://www.thestar.com.my/business/business-news/2019/10/21/foreign-funds-net-buyers-at-rm184m-in-week-ended-oct-18
  8. https://www.investing.com/news/economy/top-5-things-to-know-in-the-market-on-monday-2000131
  9. https://tradingeconomics.com/malaysia/inflation-cpi

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Komen

komen





Source link