Artikel Terkini

Lima Catalyst Yang Bakal Menggerakkan Pasaran Saham Global Minggu Ini (20-24 Julai 2020)


Pasaran Wall Street ditutup bercampur-campur pada Jumaat (17 Julai 2020) dengan indeks S&P 500 membuat kenaikan 0.28% di mana terdapat prospek rangsangan fiskal yang memberi harapan kepada pelabur di Amerika Syarikat (AS).

Sepanjang minggu lalu, indeks S&P 500 dan Dow Jones Industrial Average (DJIA) mencatatkan kenaikan masing-masing sebanyak 1.2% dan 2.3%.

Walaupun jumlah kes Covid-19 di negara itu terus merekodkan jumlah kes yang tinggi tetapi ia dikaburi dengan kemungkinan lebih banyak rangsangan fiskal oleh kerajaan AS.

Pasaran saham terbesar Asia, China pula mencatatkan prestasi yang sebaliknya dengan kejatuhan indeks saham terburuk sejak empat bulan lalu.

Kejatuhan ini berlaku apabila pelabur-pelabur mengurangkan pembelian mereka akibat daripada kebimbangan pengetatan dasar selepas negara itu merekodkan pertumbuhan ekonomi di luar jangkaan.

Penganalisa pasaran berpendapat pelonggaran dasar akan menjadi lebih perlahan terutamanya dari bank pusat China.

Pasaran ekuiti di Malaysia pada minggu lalu bergerak dengan tidak menentu di mana FBM KLCI hanya mencatatkan kenaikan pada hari pertama (13 Julai) dan terakhir (17 Julai) dagangan. Indeks KLCI merekodkan kejatuhan tiga hari berturut-turut bermula hari Selasa hingga Khamis.

KLCI bermula dengan meyakinkan pada hari Selasa apabila mencapai paras tertinggi 1,617 mata dan mula jatuh selepas itu apabila tersebarnya berita positif dalam penghasilan vaksin di Amerika Syarikat.

Hal ini telah mengubah persepsi pelabur terhadap permintaan sarung tangan getah dan mengurangkan citarasa mereka terhadap kaunter-kaunter berkaitan.

Saham-saham sarung tangan terus bergerak volatile (turun-naik) pada Khamis sehinggalah Bursa Malaysia menamatkan sesi dagangan hari itu pada pukul 3.30 petang tanpa sebarang sebab yang jelas.

Walaubagaimanapun, KLCI melantun semula (rebound) pada sesi dagangan Jumaat dengan kenaikan semula saham Top Glove di mana pasaran berpendapat sekatan oleh AS tidak memberi kesan yang signifikan kepada syarikat itu.

Berikut adalah lima catalyst yang akan menjadi perhatian pelabur sepanjang minggu ini.

1. Penularan Covid-19 Meningkat

Jumlah kematian di Amerika Syarikat akibat wabak Covid-19 melepasi angka 140,000 sekatat pada hari Ahad (19 Julai 2020) di mana jumlah kes terus meningkat di 43 daripada 50 buah negeri sejak dua minggu yang lalu.

Peningkatan semula kes di negara ini bermula pada lewat bulan Jun di mana AS kehilangan 5,000 nyawa setiap minggu. Sebaliknya di negara jiran Kanada hanya mencatatkan kematian sebanyak 8,800 sehingga hari ini.

Prestasi Wall Street sejak beberapa minggu ini agak baik walaupun dengan lonjakan kes positif koronavirus tetapi prospek ekonomi di masa hadapan kekal tidak menentu selagi penularan terus meningkat dengan tiada vaksin yang mampu membunuh virus tersebut.

Jumaat lepas (17 Julai) negara ini mencatatkan jumlah kes baru kedua tertinggi sebanyak 71,000 yang menunjukkan Amerika Syarikat terus bergelut dalam menangani masalah ini. Sekali lagi lonjakan kes penularan wabak ini tidak diendahkan oleh pasaran saham negara itu.

Adakah sentimen pelabur akan terkesan pada minggu ini? Sama-sama kita nantikan.

2. Ketegangan AS-China Berterusan

Walaupun bukan perang sebenar, sekurang-kurangnya kedua-dua negara AS-China sudah lama berada dalam perang dingin yang memuncak sejak Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat cuba mempengaruhi dunia menentang China dengan membuat sekatan terhadap gergasi teknologi China, Huawei terutamanya dalam projek 5G. Tidak cukup dengan tariff perdagangan, AS terus menekan China dengan pengharaman beberapa aplikasi media-sosial popular seperti TikTok dan lain-lain.

Presiden Trump cuba menunjukkan beliau tegas dan gagah dalam usaha menarik sokongan rakyat AS menjelang pilihanraya presiden November nanti. China pula tidak banyak bertindak balas atas sebab ‘advantage’ banyak berada di pihak AS.

Dengan pilihanraya AS yang semakin hampir, Laut Cina Selatan jauh di Asia Tenggara pula menjadi medan AS menunjukkan kekuatannya dengan tidak mengiktiraf penguasaan China di wilayah itu.

Di sini kita dapat lihat China adalah sasaran utama untuk Trump menarik sokongan rakyat AS menjelang pilihanraya dan ketegangan ini nampaknya tidak akan berakhir dalam masa terdekat.

3. Keadaan Semasa Aktiviti Ekonomi Eropah

Data-data PMI sektor ekonomi di Eropah akan memberikan kita sedikit petunjuk tentang perkembangan aktiviti ekonomi pasca lockdown terutamanya di Jerman, Perancis dan United Kingdom (UK).

Walaupun bukan keseluruhan, sekurang-kurangnya indeks aktiviti dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan di negara-negara ini memberi isyarat tentang bagaimana prestasi pemulihan ekonomi di negara-negara itu dalam fasa pemulihan.

Data PMI yang dikeluarkan bulan lalu menunjukkan rebound yang signifikan di dalam ekonomi Eropah tetapi masih di bawah paras 50 yang membahagikan antara kemelesetan dan pertumbuhan. Dijangka bacaan kali ini akan meningkat lebih daripada bacaan 50.

4. Republikan VS Demokrat

Ahli-ahli yang berhormat di Dewan Senat Amerika Syarikat akan menyambung rundingan terhadap rangsangan baru ekonomi pada minggu ini.

AS masih bergelut dengan koronavirus dengan jumlah kes yang terus meningkat dan ramai daripada warga yang bekerja sendiri tidak layak mendapat faedah pengangguran daripada Jabatan Buruh.

Lanjutan daripada rangsangan sebelum ini yang akan tamat pada 31 Julai perlu, bagi memastikan rakyat AS terus mendapat sokongan kewangan dalam situasi yang sukar ketika ini.

Parti Demokrat dan Republikan dari pihak kerajaan berbeza pendapat dalam menentukan jumlah rangsangan di mana Demokrat mencadangkan jumlah yang lebih kecil.

Pelabur bimbang jika jumlah rangsangan yang dipersetujui tidak mampu untuk mengekalkan momentum pemulihan dalam situasi negara yang fragile ketika ini.

5. Microsoft, Twitter, Tesla, Intel

Laporan pendapatan di Wall Street biasanya berlangsung selama enam minggu selepas berakhirnya setiap suku-tahunan. Pengumuman menjadi lebih rancak sejak minggu lalu dengan laporan daripada sektor perbankan seperti JPMorgan, Citigroup, Wells Fargo dan lain-lain.

Banyak lagi gergasi korporat yang akan melaporkan pendapatan mereka dalam beberapa minggu akan datang dan bermulanya tempoh sibuk kepada pelabur-pelabur yang akan menganalisis data pendapatan, jualan, untung dan juga prospek perniagaan di masa hadapan.

Antara yang akan menjadi perhatian pada minggu ini adalah Tesla, Intel dan Microsoft. Tesla akan membentangkan laporannnya pada Rabu (22 Julai 2020) di mana ia telah mencatatkan keuntungan dalam tiga suku-tahunan terakhir sebelum ini.

Microsoft pula akan melaporkan pendapatannya pada hari sama bersama Tesla dan Intel pada Khamis. Antara nama besar yang lain adalah Twitter, Snap, dan Verizon.

Sumber rujukan:

  • https://www.marketwatch.com/
  • https://finance.yahoo.com/
  • https://www.investing.com/
  • https://www.reuters.com/
  • https://www.thestar.com.my/



Source link