Uncategorized

Lima Penggerak Utama Pasaran Global Pada Minggu Ini (15-19 April 2019)

Lima Penggerak Utama Pasaran Global Pada Minggu Ini (15-19 April 2019) 1


Pergerakan pasaran pada minggu lalu diwarnai oleh isu Brexit dan bank pusat utama dunia. Minggu yang boleh dikatakan agak sibuk itu menunjukkan Brexit iaitu tarikh keluar UK dari Kesatuan Eropah ditangguhkan sehingga 31 Oktober 2019. Dalam perkembangan lain, Federal Reserve (Fed) dan European Central Bank (ECB) dilihat kekal berhati-hati dalam panduan yang mereka berikan kepada pasaran pada minggu lalu.

Kesatuan Eropah (EU) telah memberikan enam bulan penangguhan terhadap Brexit, namun ia masih perlu disahkan di Parlimen UK dan jika ia tidak diterima, maka UK akan keluar lebih awal. Tetapi kemungkinan besar Parlimen menerima tarikh baru itu untuk memberikan lebih banyak masa bagi menyelesaikan kecelaruan dalam isu ini.

Federal Reserve (Bank Pusat Amerika Syarikat) dalam minit mesyuarat yang dikeluarkan pada minggu lalu menegaskan bahawa mereka akan terus bersabar terhadap halatuju kenaikan kadar faedah. Bukan itu sahaja, Fed juga dilihat sedikit terbuka terhadap kebarangkalian untuk menurunkan kadar faedah di Amerika Syarikat.

Dalam perkembangan lain, mesyuarat bank pusat Eropah, ECB juga menunjukkan terdapat risiko di dalam ekonomi Eropah khususnya apabila data-data ekonomi terbaru mencatat kemerosotan.

Minggu ini, pasaran akan memberi tumpuan kepada laporan pendapatan di Wall Street selepas lonjakan oleh saham Amerika Syarikat yang disokong oleh laporan pendapatan JP Morgan. Bukan itu sahaja, beberapa data ekonomi penting dari China, Amerika Syarikat, Eropah dan UK juga bakal mencuri tumpuan.

Berikut adalah lima tema utama yang bakal mewarnai pergerakan pasaran pada minggu ini.

1. Laporan Pendapatan Suku Pertama di Wall Street

Lima Penggerak Utama Pasaran Global Pada Minggu Ini (15-19 April 2019) 2

Minggu ini tumpuan akan terarah kepada laporan pendapatan syarikat-syarikat dalam indeks S&P 500. Pendapatan keseluruhan dalam indeks ini dijangka meningkat 4.8% berbanding suku keempat 2018.

Kenapa laporan pendapatan kali ini penting? Ia penting untuk menjadi bukti momentum kenaikan semasa pasaran pada ketika ini. Ada yang mengatakan tindakan Fed untuk terus bersabar dalam pengetatan kadar telah memangkin kenaikan indeks ini.

Di antara yang menjadi faktor kenaikan indeks S&P 500 adalah prestasi kaunter-kaunter perbankan pada minggu lalu.

Kenaikan S&P 500 pada minggu lalu disokong oleh keyakinan terhadap JP Morgan yang merekodkan pendapatan lebih daripada jangkaan berikutan kadar faedah yang lebih tinggi.

Minggu ini tumpuan di Wall Street akan terarah kepada laporan pendapatan Bank of America, Goldman Sachs dan Morgan Stanley.

2. Data Pertumbuhan Ekonomi China

Lima Penggerak Utama Pasaran Global Pada Minggu Ini (15-19 April 2019) 3

Ekonomi China memasuki zon membimbangkan selepas lebih daripada 10 tahun mencatat lonjakan ekonomi. China yang merupakan ekonomi kedua terbesar dunia kini bergerak dalam kadar perlahan. Pertumbuhan ekonomi pada 2018 adalah yang paling rendah sejak tahun 1990, di mana beberapa pemerhati pasaran menjangka tahun 2019 bakal menjadi lebih buruk untuk China.

China telah mencatat pertumbuhan paling perlahan pada 2018 iaitu sebanyak 6.6%. Selepas mencatat pertumbuhan 6.4% pada suku keempat 2018, satu lagi bacaan rendah dijangka bakal dicatatkan iaitu sebanyak 6.3% pada suku pertama 2019. Tumpuan akan terarah kepada data ini yang mana akan dikeluarkan pada hari Rabu (17 April 2019) jam 10 pagi.

Jika data yang dikeluarkan melebihi jangkaan 6.3%, ia bakal memacu prestasi saham Asia pada Rabu dan seterusnya pasaran Eropah dan New York. Sebaliknya pula yang akan berlaku, jika bacaan berada di bawah jangkaan tersebut.

3. Prestasi Semasa Aktiviti Ekonomi Zon-Eropah

Lima Penggerak Utama Pasaran Global Pada Minggu Ini (15-19 April 2019) 4

Sejak pertengahan tahun lalu, aktiviti ekonomi di Eropah dilihat semakin perlahan dan peningkatan data baru-baru ini bukanlah bukti kukuh kepada kebangkitan ekonomi kerana indeks pengeluaran pada Februari mencatat bacaan di bawah paras 50. Ini menunjukkan kemelesetan dalam industri di Eropah buat kali pertama sejak enam tahun lalu.

Kejatuhan paling tinggi direkodkan oleh sektor pembuatan Jerman dengan bacaan 44.1 pada Mac. Tumpuan akan terarah kepada data ini yang dijangka naik ke paras 45.2.

Bagi Bank Pusat Eropah (ECB), data minggu ini akan diteliti sama ada penurunan aktiviti ekonomi sebelum ini adalah sementara atau semakin buruk. Ini akan memberikan gambaran lebih jelas kepada bank pusat Eropah itu dan pemain pasaran secara keseluruhan.

4. Perkembangan Isu Brexit

Lima Penggerak Utama Pasaran Global Pada Minggu Ini (15-19 April 2019) 5

Jumaat lepas (12 April 2019) United Kingdom sekali lagi terlepas daripada tarikh keluar dari Kesatuan Eropah (EU) selepas menerima tawaran untuk terus kekal sehingga 31 Oktober. Selepas tiga tahun berlalu, kedua-dua pihak UK-EU masih belum dapat memeterai perjanjian keluar Brexit.

Sejak tiga tahun lepas, Brexit memberi impak signifikan kepada pasaran di UK terutamanya matawang Pound Sterling. Sejak kebelakangan ini Pound lebih banyak bergerak dalam julat yang tetap disebabkan masih belum ada petunjuk jelas tentang halatuju perjanjian Brexit UK-EU.

Dengan pelanjutan tempoh artikel 50 sehingga 31 Oktober 2019, pakar melihat ia tidak banyak memberi kesan signifikan kepada pasaran dan dijangka akan terus bergerak dalam julat yang tetap selagi tiada bukti jelas tentang apakah hubungan UK-EU di masa hadapan.

5. Mesyuarat Negara Pengeluar Minyak OPEC

Lima Penggerak Utama Pasaran Global Pada Minggu Ini (15-19 April 2019) 6

Negara-negara pengeluar minyak mentah termasuk OPEC dan Russia akan bermesyuarat di Vienna pada Rabu dan Khamis minggu ini. Mesyuarat ini bagi membuat keputusan dasar pengeluaran minyak mentah bagi tempoh enam bulan yang akan datang.

Menurut sumber, OPEC dan negara pengeluar lain dijangka tidak akan memutuskan sebarang jumlah pengeluaran dalam mesyuarat ini kerana ia dilihat terlalu awal untuk mendapat gambaran jelas impak terhadap pemotongan pengeluaran semasa.

Perjanjian akan dimeterai pada mesyuarat bulan Jun dan pemotongan bekalan dijangka akan dilanjutkan.

OPEC dan negara pengeluar lain telah bersetuju pada penghujung tahun lepas untuk mengurangkan 1.2 juta tong minyak sehari dalam tempoh enam bulan.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Lima Penggerak Utama Pasaran Global Pada Minggu Ini (15-19 April 2019) 7

Komen

komen





Source link