Artikel Terkini

Lima Perkara Penting Yang Bakal Menggerakkan Pasaran Minggu Ini (16–20 Mac 2020)


Pasaran saham Wall Street melonjak tinggi pada
hari Jumaat lepas (13 Mac 2020) sehari selepas menjunam pada Khamis (12 Mac). Tiga
indeks utama di Bursa Saham New York (NYSE) yang terdiri daripada Dow Jones
Industrial Average
(DJIA), S&P 500, dan indeks komposit Nasdaq menokok
lebih daripada 9%.

Walaubagaimanapun, prestasi NYSE sepanjang minggu lalu kekal negatif walaupun terdapat lonjakan pada saat akhir. Sekurang-kurangnya ia memberi nafas lega kepada pasaran dunia apabila Trump mengumumkan darurat di Amerika Syarikat (AS) sekaligus memudahkan beliau selaku Presiden AS mendapatkan dana kerajaan persekutuan bagi menanggani penularan virus Covid-19 di negara itu.

Apa yang menyebabkan kejatuhan pasaran sejak beberapa
minggu ini adalah kebimbangan terhadap penularan koronavirus yang telah
diisytiharkan oleh Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) sebagai pandemik baru-baru
ini. Oleh itu, bagi menstabilkan semula pasaran, langkah drastik perlu diambil
oleh kerajaan bagi menghalang virus ini dari terus menular.

Dalam hal ini, Presiden Trump
bersedia untuk menyuntik dana sebanyak US$50 billion bagi mendepani masalah
virus tersebut.

Dow Jones merekodkan junaman paling besar dalam sehari sejak tahun 1987 pada sesi dagangan Khamis (12 Mac) walaupun bank pusat (Federal Reserve) telah menyuntik sejumlah US$1.5 bilion kecairan ke dalam pasaran.

Walaubagaimanapun, pasaran dunia dijangka akan terus
bergerak tidak menentu dalam tempoh beberapa bulan akan datang berikutan
kelemahan ekonomi global.

Ia sebenarnya bermula daripada kemerosotan permintaan dan penawaran oleh China berikutan serangan koronavirus sejak akhir tahun lalu. Penganalisa pasaran di JP Morgan, Bruce Kasman berpendapat, pertumbuhan ekonomi negatif akan direkodkan oleh kebanyakan negara sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Minggu ini tema pasaran masih berkisar dengan koronavirus dan usaha mengekangnya.

Berikut adalah lima catalyst utama yang bakal menjadi perhatian para pelabur sepanjang minggu ini.

1. Federal Reserve Potong Kadar Lagi

Pemotongan kadar faedah tidak akan menyembuhkan koronavirus yang semakin menular tetapi para pelabur masih berharap Federal Reserve (The Fed) menggunakan mandatnya untuk menstabilkan pasaran.

Tidak sampai tiga minggu The Fed
memotong kadar faedah, bank pusat itu sekali lagi menurunkan Fed Fund Rate
secara mengejut pada pagi Isnin.
Kadar diturunkan sehingga hampir kepada nilai sifar
bagi memastika kecairan benar-benar mencukupi di Amerika Syarikat.

Bank pusat ini sepatutnya dijadualkan bermesyuarat
pada pagi Khamis waktu Malaysia dan dijangka menurunkan kadar ketika itu.
Tetapi jangkaan meleset, apabila pengerusinya Jerome Powell dengan mengejut
menurunkan kadar faedah pada pagi tadi yang menunjukkan pandemic koronavirus
benar-benar merisaukan The Fed.

Selain pemotongan kadar faedah, The Fed juga dijangka mengumumkan tindakan yang akan diambil untuk memastikan kecairan mencukupi di dalam pasaran. Ia juga berkemungkinan mengumumkan pelonggaran kuantitatif (quantitative easing) yang pernah digunakan dalam tempoh krisis kewangan 2008 pada minggu ini.

Minggu lepas, The Fed cawangan New York berkata akan menyuntik kecairan sebanyak US$1.5 trillion ke dalam pasaran dan akan memulakan pembelian bon yang telah matang dalam usaha memastikan kecairan kekal mencukupi.

2. Bank Pusat Tiada Pilihan Lain

Selain Federal Reserve, minggu ini beberapa
bank pusat utama dijadualkan bermesyuarat termasuk bank pusat Jepun dan
Switzerland. Seperti yang semua maklum, The Fed dijangka akan menurunkan
kadar faedahnya, manakala Jepun dan Switzerland akan terus menyokong kecairan
dalam pasaran kewangan masing-masing.

Bank pusat China pada minggu lalu telah menurunkan Reserve Requirement Ratio (RRR) iaitu satu jumlah dana yang perlu disimpan di bank pusat mengikut kadar yang ditetapkan. Ini bermakna 550 bllion Yuan akan membanjiri sistem perbankan China bagi menyokong ekonomi sekaligus melonggarkan syarat pinjaman wang di negara itu bagi menggalakkan aktiviti pelaburan baru.

Sebelum ini, Rizab Bank Australia juga telah memutuskan penambahan AS$8.8 bilion ke dalam pasaran iaitu dua kali ganda daripada amaun yang biasanya dilepaskan ke dalam pasaran setiap hari. Minggu lalu juga menyaksikan bank pusat Kanada sekali lagi menurunkan kadar faedahnya secara mengejut walaupun telah menurunkannya pada mesyuarat 4 Mac 2020.

Selain daripada bank-bank pusat utama
ini, penganalisa di Barclays juga meramalkan Indonesia, Filipina dan Taiwan
akan mengikut jejak langkah pelonggaran dasar monetari pada minggu ini.

3. Eropah Pusat Penyebaran Koronavirus

Eropah kini menjadi pusat penyebaran gelombang kedua
Covid-19 apabila kes semakin meningkat saban hari terutamanya di Itali. Amerika
Syarikat juga telah menggantung penerbangan dari dan ke Eropah yang bakal
memberi tekanan kepada operator-operator penerbangan.

Selepas Itali, Spanyol kini merupakan
negara paling banyak merekodkan peningkatan kes di Eropah dengan tambahan 1,100
kes sehari.
Liga-liga bola sepak telah digantung, tetapi penerbangan di kebanyakan
negara Eropah kekal beroperasi walaupun permintaan telah jatuh mendadak.

Koronavirus juga telah menular lebih
pantas di negara-negara Scandinavian dan Switzerland. Dalam beberapa minggu
akan datang industri pengangkutan merentas Eropah bakal menerima dampak
daripada virus Covid-19.

4. Volatility Pasaran Berterusan

Selepas merekodkan kejatuhan terbesar sejak 1987 pada Khamis lepas (12 Mac 2020) Wall Street melonjak semula pada hari berikutnya. Inilah yang kita gelarkan sebagai pergerakan yang tidak menentu dalam pasaran (volatility).

Bursa saham New York menggantung sesi
dagangan sebanyak dua kali pada minggu lalu, iaitu pada Isnin dan Khamis di
mana tercetusnya ‘circuit breaker’. Dagangan digantung dalam satu tempoh
selepas S&P 500 jatuh sebanyak 7% pada hari yang sama.

Pasaran minyak mentah juga mengalami kejatuhan besar dan kini berada di paras yang rendah apabila Arab Saudi mengejutkan pasaran dengan tambahan pengeluaran minyak mentah pada Isnin (9 Mac). Ini adalah antara penyebab kejatuhan pasaran saham minggu lalu dengan permintaan yang merosot dari China disebabkan virus.

5. Rangsangan Fiskal Menentang Covid-19

Bank-bank pusat dunia majoritinya
telah melonggarkan dasar masing-masing, tetapi ia tidak cukup untuk
menggerakkan ekonomi dalam situasi sekarang.
Isunya adalah kesihatan, di mana
orang ramai bimbang dengan koronavirus yang memaksa mereka lebih banyak menghabiskan
masa di rumah.

Bagaimana ekonomi terus berjalan jika
orang ramai takut untuk melakukan aktiviti di luar rumah?

Di sinilah pentingnya peranan kerajaan untuk memerangi
koronavirus habis-habisan untuk menyekat penularannya. Usaha untuk meningkatkan
aktiviti ekonomi ketika ini dengan rangsangan fiskal tidak guna sama sekali
jika isu utama penularan virus tidak dikekang terlebih dahulu.

Oleh itu, kerajaan perlu mengeluarkan dana untuk merangsang usaha memerangi penularan Covid-19 agar keyakinan orang ramai dapat dipulihkan di samping memastikan mereka terus dapat bertahan dari segi komitmen kewangan. Beberapa negara di dunia telah mengumumkan dana khas bagi menentang virus ini dari merebak dan dapat dilihat tanda positif kepada pasaran pada Jumaat lepas apabila AS mengumumkan sejumlah US$50 bilion bagi memerangi penularan virus ini.

Sumber Rujukan:

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.



Source link