Artikel Terkini

Lima Tema Utama Yang Bakal Menggerakkan Pasaran Global Sepanjang Minggu Ini (6-10 Julai 2020)


Pasaran Wall Street mengukuh pada hari Khamis (2 Julai 2020) di mana indeks Nasdaq mencapai paras tertinggi yang baru. Ini berikutan rekod baru data pekerjaan Non-Farm Payroll (NFP) yang memberi gambaran bahawa pemulihan ekonomi negara Amerika Syarikat (AS) berada di landasan yang betul.

Indeks komposit Nasdaq yang terdiri lebih daripada 2,500 syarikat ditutup pada paras 10,207 mata dengan peningkatan 0.52%, manakala dua lagi indeks utama turut merekodkan bacaan lebih tinggi.

Indeks Dow Jones Industrial Average (DJIA) yang mengandungi 30 syarikat terbesar dalam bursa saham Amerika Syarikat (AS) menokok 0.36%

Manakala indeks S&P 500 yang sering dijadikan panduan prestasi keseluruhan ekonomi AS ditutup 0.45% lebih tinggi.

Rangsangan dan harapan pemulihan lebih pantas terhadap ekonomi Amerika Syarikat telah mencetuskan sentimen positif di Wall Street di samping data-data ekonomi yang memberangsangkan sepanjang minggu lalu.

Amerika Syarikat menambah 4.8 juta pekerjaan dalam sektor bukan perladangan pada bulan Jun dalam data yang dikeluarkan pada Khamis oleh Jabatan Buruh AS. Data menunjukkan bacaan kali ini lebih tinggi daripada ramalan pasaran iaitu 3 juta pekerjaan. Kadar pengangguran di negara itu juga berkurangan daripada 13.3% kepada 11.1%.

Pasaran Asia turut membuat kenaikan pada hari Jumaat (3 Julai 2020) selepas mendapat rangsangan daripada data ekonomi positif di AS dan China. Data Caixin PMI dalam sektor perkhidmatan China mencatat bacaan 58.4 pada Jun, lebih tinggi daripada bacaan sebelum itu 55. Sebelum itu data PMI dalam industri berat pembuatan dan perkhidmatan China turut merekodkan bacaan memberangsangkan.

Indeks keyakinan pengguna Amerika Syarikat yang dikeluarkan oleh Conference Board juga mencatat bacaan jauh lebih baik iaitu 98.1 berbanding 85.9 sebelum ini. Ini adalah tinjauan yang dibuat kepada 3,000 isi rumah di negara itu yang mana ditanyakan soalan tentang tahap ekonomi semasa termasuk ketersediaan pekerjaan dan keadaan perniagaan.

Berikut adalah lima catalyst yang akan menjadi perhatian pelabur sepanjang minggu ini.

1. Kes Positif Covid-19 Terus Meningkat

Peningkatan kes positif koronavirus agak membimbangkan sejak seminggu yang lalu terutamanya di dalam ekonomi besar dunia. 12 negeri di Amerika Syarikat dilaporkan sedang menangguhkan pembukaan semula ekonomi selepas rekod tertinggi catatan kes baru positif di negara itu.

Setakat pada hari Ahad, jumlah kes di seluruh dunia adalah 11,386,428 kes di mana peningkatan dalam tempoh seminggu sebanyak 1.34 juta. Pada tempoh yang sama seminggu sebelum itu jumlah kes hanya bertambah sebanyak 1.04 juta di seluruh dunia.

Di Amerika Syarikat pula, minggu lalu sahaja mencatatkan jumlah kes sebanyak 361,275 kes baru yang membawa jumlah terkini setakat pada hari Ahad kepada 2.93 juta kes. Jumlah itu meningkat daripada hanya 239,880 kes pada minggu sebelumnya. Pada hari Sabtu (4 Julai 2020) sahaja AS merekodkan jumlah kes baru sebanyak 107,457.

Perkembangan terbaru ini adalah tidak baik kepada pergerakan pasaran dengan potensi ancaman gelombang kedua di mana vaksin kepada wabak ini mustahil untuk dihasilkan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

2. Data-data Ekonomi Amerika Syarikat

Satu data penting akan dikeluarkan oleh ekonomi terbesar dunia AS pada Isnin iaitu keadaan semasa sektor ekonomi yang paling banyak menyumbang kepada negara itu. Sektor perkhidmatan mewakili hampir 70% ekonomi Amerika Syarikat, termasuk perkhidmatan kewangan, media, pengangkutan dan teknologi.

Data kali ini dijangka meningkat daripada 45.4 sebelum ini kepada bacaan 50.0 iaitu tahap pertengahan antara keadaan kemelesetan (<50) dan pertumbuhan (>50).

Data tuntutan pengangguran yang menjadi perhatian sejak penularan wabak Covid-19 pula akan dikeluarkan pada Khamis (9 Julai 2020) di mana ia menunjukkan jumlah rakyat AS yang kehilangan pekerjaan setiap minggu.

Seterusnya data indeks harga pengeluar akan dikeluarkan pada hari Jumaat pukul 8.30 malam. Data ini penting untuk melihat tahap indeks harga dalam sektor pengeluar yang menjadi gambaran kepada peningkatan atau penurunan dalam harga pengguna.

3. Perkembangan Politik Amerika Syarikat

Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador akan melawat Presiden Trump di White House pada minggu ini. Ini adalah pertemuan sempena perjanjian dagang yang telah dipersetujui antara kedua-dua negara dan secara rasminya bermula pada hari Rabu ini.

Dalam pada itu perkembangan pilihanraya presiden yang akan berlangsung hujung tahun ini turut mencuri perhatian di mana parti Demokrat sedang menunggu siapakah yang akan dipilih oleh Joe Biden sebagai calon naib presiden beliau. Hal ini sangat penting kerana faktor umur Biden yang menginjak 78 beberapa minggu selepas pilihanraya.

4. Kecelaruan Rundingan Brexit

Angela Merkel memberi amaran bahawa UK tidak akan mendapat sebarang perjanjian di mana Boris Johnson mendakwa ia adalah satu pilihan yang baik jika mereka tidak mendapat apa yang dimahukan.

Rundingan pada minggu lalu antara United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU) gagal menemui titik persamaan berikutan perselisihan yang serius antara dua pihak. Ketua perunding EU, Michael Barnier mendakwa UK kurang memberi kerjasama dalam rundingan tersebut sekaligus berakhir sehari lebih awal.

Minggu ini rundingan akan bersambung di London dan sekali lagi usaha mencari persefahaman dijangka gagal. Britain secara rasmi telah meninggalkan blok perdagangan terbesar dunia itu pada 31 Januari 2020 dan tempoh setahun peralihan masih gagal membuahkan hubungan baru menjelang hujung tahun ini.

5. Ketegangan Amerika Syarikat – China

Peperangan dalam skala kecil antara India dan China sedang berlangsung di sempadan kedua-dua negara dan kini ekonomi kedua terbesar dunia itu akan ditentang secara tidak langsung oleh seteru terbesarnya Amerika Syarikat di Laut Cina Selatan.

Dua kapal pembawa pesawat diarahkan ke kawasan Laut Cina Selatan untuk menjalankan latihan peperangan seakan cuba memberi amaran kepada tentera laut China yang juga menjalankan latihan di kawasan yang sama.

Dengan ketegangan dalam isu perdagangan yang tidak berpenghujung, penularan Covid-19, dan campur tangan di Hong Kong, pegawai Amerika Syarikat berkata mereka mahu mencabar China dalam usaha perluasan kawasan jajahan yang dianggap tidak sah.

Sumber Rujukan:

Disediakan oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini berkhidmat di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.



Source link