Artikel Terkini

Lima Tema Utama Yang Bakal Menggerakkan Pasaran Pada Minggu Ini (20-24 April 2020)


Pasaran Wall Street mengakhiri dagangan pada minggu lalu dengan meyakinkan dengan merekodkan kenaikan selama dua minggu berturut-turut sejak bulan Februari.

Dow Jones Industrial Average (DJIA) menokok 2.99% iaitu kenaikan
dua minggu berturut-turut sejak 9 Februari 2020.
Indeks S&P 500 yang mengumpulkan
500 buah syarikat besar di Amerika Syarikat pula naik 2.68%, manakala indeks
Nasdaq ditutup 1.38% lebih tinggi pada Jumaat (18 April).

Ketika ini pentadbiran White House sedang memperhalusi
rancangan untuk membuka semula aktiviti ekonomi secara beransur-ansur
dalam usaha mengurangkan impak
penularan Covid-19 terhadap ekonomi Amerika Syarikat (AS).

Walaupun dengan peningkatan pasaran saham ketika ini,
pengangguran di seluruh dunia kini menjadi kebimbangan pelabur.

Lebih daripada 5.2 juta rakyat Amerika Syarikat membuat
tuntutan faedah pengangguran dalam laporan mingguan yang diumumkan oleh Jabatan
Buruh pada Khamis (16 April 2020).

Ini juga adalah minggu keempat di mana data ini mencatat
bacaan lebih daripada tiga juta pengangguran di Amerika Syarikat yang membawa
jumlah semasa kepada 22 juta pengangguran di negara itu sejak pertengahan bulan
Mac 2020.

Pentadbiran Presiden Trump bakal mengemukakan cadangan kepada
gabenor-gabenor di negara itu tentang panduan bagaimana mereka patut membuka
semula ekonomi di negeri masing-masing. Walaubagaimanapun, Trump mahu ia
dilakukan dengan cukup berhati-hati dan mengakui tidak semua negeri dapat
melonggarkan kawalan pergerakan dalam masa yang sama.

Berikut adalah lima catalyst yang akan menjadi perhatian
pelabur sepanjang minggu ini.

1. Tren Penularan Semasa Wabak Covid-19

Tren penularan koronavirus di Amerika Syarikat dan Eropah semakin perlahan dengan pusat penyebaran Covid-19 di AS iaitu New York melaporkan jumlah kematian terendah sejak dua minggu lalu pada Ahad (19 April 2020). Gabenor Andrew Cuomo berharap negeri yang ditadbirnya itu mungkin telah melepasi tempoh sukar buat masa ini.

Jumlah kematian di Sepanyol juga berkurangan dengan hanya 410 mangsa pada hari Ahad berbanding 565 kematian pada hari sebelumnya. Ini adalah jumlah kematian terendah sejak 22 Mac 2020.

Iran antara negara paling terkesan pada awal penularan
Covid-19 dua bulan lalu telah melonggarkan langkah kawalan di negara itu.
Iran telah membuka sebahagian ibu
negaranya Tehran hanya kepada perniagaan yang berisiko rendah kepada penularan
koronavirus.

Sebagai pelabur atau pedagang, perkembangan pandemik Covid-19 perlu diteliti dari hari ke hari kerana ia adalah catalyst utama kepada pergerakan pasaran saham global. Oleh itu, jika situasi bertambah positif terutamanya di Amerika Syarikat, Eropah dan China; kita bakal melihat pemulihan dalam ekonomi global secara keseluruhannya.

2. Prestasi Semasa Aktiviti Ekonomi Zon-Eropah

Kita bakal melihat kesan sebenar penularan Covid-19 terhadap ekonomi di Zon-Eropah dalam data yang bakal dikeluarkan pada minggu ini. Ia adalah data Purchasing Manager Index (PMI) bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan yang akan dikeluarkan pada hari Khamis (23 April 2020) sekitar pukul 4 petang.

Bacaan indeks PMI penting kerana ia adalah petunjuk awal
tentang keadaan semasa kesihatan ekonomi. Tinjauan PMI ini dibuat terhadap
perniagaan dan juga pengurus pembelian yang mana sering terkesan lebih awal
jika ada perubahan ekonomi.

Indeks komposit PMI di Zon Eropah yang menggabungkan bacaan
dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan pada bulan lalu merudum ke paras
terendah 29.7 (Mac) berbanding 51.6 yang direkodkan pada bulan sebelum itu.

Bagi bacaan kali ini, penganalisa ekonomi meramalkan bacaan
aktiviti perniagaan di Eropah akan terus merudum daripada 29.7 kepada 26.

3. Keadaan Pasaran Komoditi Hitam

Dalam perkembangan pasaran minyak mentah, penanda aras West
Texas Intermediate
(WTI) kekal tertekan apabila jatuh ke paras lebih rendah
berbanding sebelum mesyuarat OPEC baru-baru ini. Minyak WTI jatuh ke paras
harga US$17.31 setong dalam penutupan pasaran pada minggu lalu.

Tiada apa yang dapat menaikkan harga walaupun pasaran saham
global telah membuat kenaikan didorong oleh tren penurunan kes Covid-19 dan
juga keputusan OPEC dan negara bukan ahli OPEC telah bersetuju untuk
mengurangkan pengeluaran minyak mentah mereka.

Walaupun OPEC dan negara bukan ahli seperti Russia bakal mengurangkan pengeluaran sebanyak 10 juta tong bermula bulan Mei ini, harga minyak terus jatuh kerana pasaran merasakan jumlah itu tidak mencukupi.

Untuk rekod, pandemik Covid-19 telah menyebabkan pengurangan permintaan minyak sebanyak 30 juta tong sehari di dunia.

4. Data Ekonomi Amerika Syarikat

Minggu ini perhatian masih terarah kepada jumlah tuntutan pengangguran yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh AS pada hari Khamis (24 April 2020) dengan jumlah pengangguran yang direkodkan mencecah 22 juta orang dalam tempoh empat minggu.

Data ekonomi penting dari Amerika Syarikat paling banyak
dikeluarkan pada minggu ini dengan bacaan indeks sektor pembuatan akan
diumumkan pada hari Khamis diikuti data jualan runcit dan tempahan barangan
tahan lama (Durable Goods) pada hari Jumaat (24 April).

Pihak bank pusat AS (Federal Reserve) akan berada
dalam mod ‘blackout‘ pada minggu ini menjelang mesyuarat yang akan
berlangsung pada minggu hadapan (29 April).
Mod blackout bermaksud di mana ahli-ahli bank
pusat tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan ekonomi khususnya
dasar monetari pada minggu ini.

5. Laporan Pendapatan Di Wall Street

Hampir 100 buah syarikat dalam indeks S&P 500 dijangka
akan mengumumkan pendapatan syarikat sepanjang suku pertama tahun 2020 pada
minggu ini.
Ini
termasuklah syarikat industri berat, teknologi, dan barangan pengguna seperti
Netflix, Coca-Cola dan Verizon.

Di antara yang akan melaporkan pendapatan adalah syarikat-syarikat yang paling buruk terkesan oleh pandemik Covid-19 termasuklah Delta Airlines dan Southwest Airlines.

Tentunya laporan pendapatan kali ini dijangka tidak memberangsangkan disebabkan penularan wabak ini. Sejauh mana kesan negatif pandemik ini terhadap pendapatan syarikat pada suku pertama, bakal terungkap pada minggu ini.

Pelabur-pelabur juga akan mendapatkan sebarang maklumat tentang seberapa awal perniagaan-perniagaan ini akan kembali beroperasi dalam skala penuh dan juga bilakah prestasi kewangan mereka kembali pulih selepas tertekan pada suku pertama 2020.

Sumber Rujukan:

Disediakan oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini berkhidmat di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.



Source link