Artikel Terkini

Lima Tumpuan Utama Pelabur Pasaran Global Pada Minggu Ini (20–24 Januari 2020)


Pasaran saham Amerika Syarikat (AS) ditutup tinggi pada hari
Jumaat lepas (17 Januari 2020) disokong oleh peningkatan kaunter-kaunter
telekomunikasi, utiliti dan teknologi.

Pada penutupan Bursa Saham New York (New York Stock Exchange), indeks Dow Jones Industrial Average (DJIA) naik 0.17% mencapai paras
tertinggi dalam sejarah, sementara S&P500 menokok 0.39% dan Indeks komposit
Nasdaq naik 0.34%.

Bukan di Amerika Syarikat sahaja, bahkan pasaran saham Asia
juga ditutup positif pada akhir dagangan minggu lalu berikutan termeterainya
perjanjian perdagangan fasa satu antara AS dan China. Sentimen pasaran global bertambah baik dua hari sebelum kedua-dua
negara memeterai perjanjian apabila Amerika Syarikat mengeluarkan China
daripada senarai negara pemanipulasi matawang.

Sentimen bertambah baik pada hari Jumaat apabila China merekodkan pertumbuhan ekonomi yang
memberangsangkan pada tahun 2019 dengan kadar 6.1%.
Ia sekaligus memacu matawang
Yuan lebih tinggi selepas pengukuhan yang disokong oleh keyakinan dalam isu
perdagangan.

Minggu ini pula akan menjadi satu lagi tempoh yang sibuk kepada pemain-pemain pasaran dengan beberapa bank pusat utama dunia bakal menetapkan dasar monetari. Selain itu, Presiden Donald Trump juga akan bercakap di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland. International Monetary Fund (IMF) pula membentangkan ramalan terbaru ekonomi global pada hari Isnin (20 Januari 2020).

Presiden Trump akan
berucap di Davos pada hari Selasa (21 Januari). Selepas ketegangan dengan China
surut, pemerhati pasaran sedang meneliti sebarang isyarat ketegangan
perdagangan antara AS dengan Eropah.

Dengan termeterainya perjanjian dagang AS-China, tumpuan juga
akan beralih ke Wall Street dengan
banyak lagi syarikat-syarikat besar teknologi, perbankan dan industri akan
membentangkan laporan pendapatan mereka.

Terdapat juga banyak data ekonomi yang akan dikeluarkan pada minggu ini di mana tumpuan akan lebih terarah pada hari Jumaat (24 Januari 2020). Tiga negara terbesar dunia akan menerbitkan laporan sektor pembuatan dan perkhidmatan iaitu Amerika Syarikat, Zon-Eropah dan Britain.

Pasaran agak senyap pada awal dagangan minggu ini dengan
pasaran Amerika Syarikat ditutup bersempena dengan cuti umum Hari Marthin
Luther King. Namun, pasaran minyak
mentah dikejutkan dengan lonjakan harga berikutan risiko geopolitik yang
melibatkan Libya dan Iraq di Timur Tengah.

Berikut adalah lima catalyst utama yang bakal menjadi perhatian para pelabur sepanjang minggu ini.

1. Ramalan Ekonomi Global Oleh IMF

International Monetary Fund (IMF) dilihat kurang optimis dalam ramalannya kali ini dengan memberi
amaran jangkaan ekonomi di masa hadapan masih lemah dan tiada isyarat jelas
menunjukkan ia akan berakhir.
Institut yang berpangkalan di Washington itu pada Oktober
2019 mengunjurkan pertumbuhan ekonomi 3.4% untuk tahun 2020 dan mengkaji semula
ia kepada 3.3% dalan ramalan kali ini.

Ketua Penganalisa
Ekonomi IMF, Gita Gopinath berkata, “Unjuran pemulihan pertumbuhan ekonomi
kekal tidak menentu. Ia banyak bergantung kepada pemulihan dalam negara-negara
pesat membangun (emerging markets)
dengan pertumbuhan di negara maju telah stabil.”

IMF juga menjangka bank-bank pusat akan terus menyokong
ekonomi untuk terus bertumbuh tetapi bimbang dengan perang dagang yang mungkin
meletus semula antara AS dan China. Kini pasaran juga sedang memerhatikan
ketegangan antara Amerika dan Zon Eropah.

Secara keseluruhan, IMF dilihat kurang yakin dengan potensi
pertumbuhan ekonomi di masa hadapan dengan banyak lagi isu-isu global
menghambat ekonomi termasuk risiko geopolitik. Ia menyarankan dunia agar
bekerjasama dan kerajaan-kerajaan terus menyokong pemulihan ekonomi yang
memberi manfaat kepada semua.

2. Retorik Presiden Donald Trump

Selepas perjanjian dengan China dimeterai, kini tumpuan terarah kepada potensi ketegangan perdagangan di antara Amerika Syarikat dan Eropah. Trump akan berucap dalam forum ini pada hari Selasa (21 Januari 2020) di mana ia akan menjadi perhatian pasaran jika beliau ada menyebut tentang isu perdagangan dengan Eropah.

Sebelum ini Trump telah
menuduh Eropah sebagai antara pemanipulasi matawang di mana Switzerland,
Jerman, Itali dan Ireland termasuk dalam senarai negara yang memanipulasi
matawang mereka agar mendapat manfaat dari segi perdagangan. Kesemua
negara-negara terbabit mempunyai lebihan perdagangan dengan Amerika Syarikat.

Perbicaraan tentang ‘Pemecatan Trump’ juga akan bermula pada minggu ini dengan Dewan Senat akan membuka perdebatan pada hari Selasa (21 Januari 2020). Presiden Trump telah memilih Kenneth Starr yang pernah menyiasat Bill Clinton dan Profesor Undang-Undang dari Universiti Harvard, Dershowitz sebagai peguam bela beliau.

Trump dikaitkan dengan
salah guna kuasa dengan memberi tekanan kepada kerajaan Ukrain untuk
mengumumkan siasatan terhadap anak musuh politiknya Joe Biden dari Parti
Demokrat.

3. Penetapan Dasar Monetari Bank Pusat Utama

Bank of Japan (BoJ), Bank of Canada (BoC) dan European
Central Bank
(ECB) dijadualkan bermesyuarat pada minggu ini bagi
mengemaskini dasar monetari di negara masing-masing.

Bank pusat Jepun itu akan menetapkan dasarnya pada hari Selasa (21 Januari 2020) yang mana dijangka mengekalkan dasar sedia ada. Bank pusat Kanada pula akan mengeluarkan kemaskini dasar mereka pada hari Rabu (22 Januari 2020) yang mana dijangka tiada perubahan yang akan dibuat kepada dasar semasa.

ECB pula mengadakan mesyuaratnya yang pertama pada dekad ini dan akan menerbitkan keputusan majlis mesyuarat pada hari Khamis (23 Januari 2020). Ia juga dijangka mengekalkan kadar faedah dan program pembelian bon sedia ada di mana pasaran akan lebih memberi tumpuan kepada mesyuarat ECB akan datang.

4. Laporan Pendapatan Di Wall Street

Sektor perbankan pada minggu lalu menunjukkan permulaan yang kukuh pada suku keempat di Wall Street. Minggu ini lebih daripada 40 syarikat yang tersenarai di dalam indeks S&P 500 akan mengeluarkan laporan pendapatan.

Laporan oleh Netflix,
Intel dan Texas Instrument pada minggu ini dilihat mewakili keseluruhan laporan
pada suku keempat tahun 2019 dengan sesetengah pelabur bimbang dengan sebarang
isyarat buruk yang akan menekan Wall Street dari paras tertinggi.

Netflix akan menjadi tumpuan kerana ia adalah syarikat
pertama dalam kumpulan ‘FAANG’ yang akan menerbitkan laporan. Pelabur mahu melihat sama ada Netflix dapat
menyerap persaingan sengit dalam industri penstriman yang diketuai gergasi
hiburan Walt Disney.
Disney+ dilihat sebagai pesaing terbesar Netflix sejak
dilancarkan pada April tahun lalu dengan saham Netflix jatuh 8% sejak tempoh
tersebut.

Pelabur juga akan melihat lebih daripada hanya laporan pada
suku keempat iaitu apakah yang diperkatakan oleh syarikat tentang unjuran dan
perancangan pelaburan mereka di masa hadapan selepas termeterainya perjanjian
AS-China fasa satu.

5. Prestasi Semasa Ekonomi Eropah, UK Dan Amerika Syarikat

Laporan data Purchasing Manager Index (PMI) di Eropah akan bermula di Perancis dan Jerman sekitar pukul 4.30 petang pada hari Jumaat (24 Januari 2020) dan diikuti dengan data keseluruhan Zon Eropah pada pukul 5 petang pada hari yang sama.

Petunjuk aktiviti
ekonomi di masa hadapan ini penting untuk diperhatikan kerana ia melambangkan
prestasi semasa ekonomi di negara yang menerbitkan data ini.
Data sebelum ini secara
keselurhannya menunjukkan kenaikan di Zon-Eropah kecuali sektor pembuatan
Jerman. Data merekodkan bacaan 43.7 jauh di bawah bacaan pertengahan 50 yang
memisahkan antara kemelesetan dan pertumbuhan dalam sektor tersebut.

Bacaan PMI sektor
pembuatan Jerman akan diteliti pada minggu ini kerana negara ini mewakili
peratusan ekonomi paling besar di blok Eropah.

United Kingdom juga akan mengeluarkan data PMI pada hari sama pukul 5.30 petang, sementara Amerika Syarikat pada pukul 10.45 malam.

Sumber Rujukan:

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.



Source link