Artikel Terkini

Limpahan rezeki peniaga sempena final Piala Malaysia


ALOR SETAR: Bahang final Piala Malaysia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, memberi limpahan rezeki buat peniaga jersi dan barangan cenderamata Hijau Kuning.

Perkarangan Stadium Darul Aman bertukar menjadi medan tumpuan penyokong pasukan Lang Merah untuk mendapatkan jersi Hijau Kuning untuk dipakai pada malam final Sabtu ini.

Bagi peniaga, peluang Kedah melayakkan ke pentas final dua kali pada tahun ini memberi limpahan rezeki berganda buat mereka.

Malah sejak seawal 8 pagi, ada pelanggan yang menunggu mereka membuka gerai kerana tidak mahu jersi dengan warna kegemaran mereka itu habis.

“Alhamdulillah, dengan jualan dengan Piala Malaysia ni, kira kami bolehlah (dapat hasil jualan) lebih. Kira rezekilah kita kata. Permintaan dan sambutan yang hangat adalah jersi home hijau kuning sebab kita tuan rumah kan,” ujar peniaga Junaidi Jamaluddin

“Setakat ni perniagaan kami agak laris. Ramai yang beli pakaian baru, walaupun dah ada tetap beli lagi. Pesanan pun tambah kuota sebab separuh akhir baru-baru ini pun (dapat sambutan menggalakkan) Alhamdulillah,” kata seorang lagi peniaga Nasriza Mohd Nasir.

Bagi para penyokong, berhabis duit pun tidak apa, asalkan mereka dapat apa yang dicari.

Antara yang menjadi tumpuan selain jersi adalah mafela, topi, tuala dan bendera negeri Kedah. Rata-rata pembeli ingin memiliki barangan itu lebih awal kerana harga di Bukit Jalil akan menjadi lebih mahal berbanding yang dijual di Stadium Darul Aman.

“Sambil datang ke sini beli tiket, kami membeli baju (jersi). Lepas tu mungkin esok malam kami akan gerak ke Bukit Jalil kalau tak ada apa-apa (semuanya lancar),” kata seorang penyokong Lang Merah, Azmi Bakar.

“(Semua ini) untuk (pasukan) Kedah. (Tanda) semangat kita untuk ke final walaupun kita tahu lawan kita kuat tapi kita lawan tetap lawan. Baju dan tiket (yang dibeli) habis dalam lebih RM100 (semata-mata) nak ke Bukit Jalil,” ujar seorang lagi penyokong kuat skuad Kedah, Ajman Ahmad.





Source link