Artikel Terkini

Luckin Coffee, Skandal Penipuan Terbaru Dalam Dunia Pelaburan Saham


Skandal penipuan yang meibatkan duit pelabur bukanlah perkara baru dalam dunia pasaran saham. Setiap tahun, terdapat sebahagian kecil syarikat yang berjaya menipu duit pelabur walaupun syarikat tersebut sudah berjaya disenaraikan.

Di antara kisah penipuan yang popular pada dekad yang lepas adalah syarikat dari Amerika Syarikat yang bernama Theranos. Jika berminat, jemput baca Theranos Berjaya Menipu Pelabur, Termasuklah 2 Orang Dalam Top 10 Bilionair Dunia.

Kini sekali lagi dunia dikejutkan dengan penipuan yang melibatkan sebuah syarikat dari China yang dikatakan bakal menjadi pesaing hebat kepada Starbucks.

Syarikat Luckin Coffee merupakan sebuah syarikat yang berkembang dengan sangat pesat. Hanya dalam masa 2 tahun, mereka telah mempunyai 2300 cawangan.

Model perniagaan yang dijalankan oleh Luckin Coffee ini begitu unik berbanding dengan Starbucks. Di antara faktor mereka berkembang dengan pesat adalah Luckin Coffee hanya membuka kiosk kecil yang hanya menjual kopi sahaja. Hampir 92% cawangan Luckin Coffee kopi ini adalah kiosk yang bersaiz kecil.

Selain itu juga, Luckin Coffee menjual kopi yang sama seperti Starbucks tetapi dengan harga yang jauh lebih murah. Ini telah berjaya menarik pelanggan baru untuk mencuba produk baru yang dikeluarkan oleh syarikat mereka.

Syarikat tersebut turut menyediakan kupon percuma kepada pelanggan baru mereka yang mana memberikan kopi percuma untuk mereka sekiranya mereka membeli untuk kali kedua.

Walaupun begitu, ada sesetengah penganalisis percaya bahawa model ini akan memberi kesan yang negatif terhadap perkembangan syarikat untuk tempoh jangka masa yang panjang, kerana menjual kopi di bawah harga pasaran.

Selain harga yang murah, faktor utama yang dimiliki oleh syarikat ini dalam menembusi pasaran kopi premium adalah dengan mengintegrasi sepenuhnya kemudahan internet bagi memudahkan urusan jual beli dengan pelanggan mereka.

Luckin Coffee telah  membangunkan aplikasi khusus dan ditambah dengan model perniagaan yang unik ini, mereka telah berjaya menarik minat para pelabur untuk melabur ke dalam syarikat.

Pada tahun 2019, Syarikat Luckin Coffee akhirnya berjaya disenaraikan di pasaran saham kedua terbesar di Amerika Syarikat iaitu Nasdaq. Jumlah pelaburan yang diterima begitu luar biasa iaitu sebanyak $3 bilion dan merupakan syarikat dari China yang paling banyak menerima pelaburan dari pasaran Amerika Syarikat pada tahun lepas.

Namun, dengan model perniagaan yang tidak berapa menguntungkan, syarikat tersebut telah membuat satu kesalahan yang besar iaitu dengan memalsukan jumlah keuntungan syarikat tersebut sebanyak $310 juta.

Orang yang bertanggunjawab dalam hal ini adalah COO Jian Liu dan pihak Nasdaq telah bertindak dengan membuang senarai syarikat tersebut dari pasaran sahamnya pada bulan lepas.

Ini telah menyebabkan harga saham syarikat tersebut jatuh dengan begitu mendadak sekali. Daripada setinggi $50 pada awal tahun, kini ianya bernilai $3 sahaja.

Hal ini telah menimbulkan kemarahan Donald Trump yang sememangnya merupakan anti-China dan telah mengarahkan supaya pihak Nasdaq mengetatkan lagi peraturan bagi syarikat dari China sebelum mereka layak mengapungkan saham mereka di pasaran negara tersebut.

Sumber Rujukan:



Source link