Uncategorized

Lynas, MARA Corp bekerjasama majukan sektor hiliran nadir bumi



KUALA LUMPUR: Lynas Malaysia Sdn Bhd yang juga pengeluar bahan nadir bumi terbesar di luar China, turut memberi kelebihan kepada Malaysia dari segi peluang untuk membangunkan sektor hiliran industri tersebut.

Ini susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Lynas Malaysia dan MARA Corporation Sdn Bhd bagi menjalin kerjasama dalam beberapa projek utama termasuk menarik industri dan pelanggan hiliran ke Malaysia.

Projek lain termasuk inisiatif pendidikan dan latihan di Malaysia, pengkomersialan sisa ‘neutralisation underflow’ (NUF) daripada loji Lynas Malaysia, termasuk menghasilkan produk baja tanah bagi kegunaan petani Melayu dan reka bentuk serta kerja-kerja fabrikasi berkaitan dengan projek Lynas 2025.

Pengerusi MARA Corporation Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berkata kerjasama itu menandakan permulaan bagi peluang besar untuk kalangan siswazah berkemahiran tinggi, penyelidikan dan pembangunan serta lebih banyak industri hiliran.

“Kami bernasib baik kerana memiliki komponen utama rantaian bekalan ini yang telah pun beroperasi di Malaysia selain menjadi masa terbaik untuk terus membangunkan peluang mempertingkat industri hijau dan berteknologi tinggi negara ini, seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya pada majlis pemeteraian MoU berkenaan di sini, pada Isnin.

Hadir sama Naib Presiden Lynas Malaysia Datuk Mashal Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Lynas Corporation Amanda Lacaze dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Andrew Goledzinowski.

Mashal, yang juga Pengarah Urusan Lynas Malaysia berkata, adalah menjadi matlamat Lynas untuk membangunkan lebih banyak industri hiliran berkaitan sejak ia bertapak di negara ini kira-kira 12 tahun lepas.

Beliau berkata sektor hiliran itu akan membolehkan pihak pengilang melabur berbilion ringgit atau mewujudkan ribuan pekerjaan baharu dan paling penting dapat membuktikan keperluan bagi pembangunan teknologi.

“Malaysia perlukan teknologi. Malah, di Lynas sekali pun, rakyat Malaysia yang bekerja adalah (pakar) teknologi tinggi yang mana 67 peratus adalah siswazah teknikal iaitu agak besar bagi sesebuah organisasi,” kata Mashal.

Beliau berkata Malaysia juga boleh membangunkan lagi teknologi tinggi dan industri masa depan dengan memasukkan nadir bumi ke dalam rantaian bekalan.

Sementara itu, mengulas projek Lynas 2025, Lacaze berkata syarikat itu berhasrat meningkatkan kapasiti pengeluarannya sebanyak 50 peratus dan mempelbagaikan kedudukan di peringkat global dengan membangunkan kemudahan di Australia dan Amerika Syarikat bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Industri ini diunjur mencatat pertumbuhan ketara untuk sekurang-kurangnya satu dekad dan Lynas sendiri turut mempunyai perancangan untuk berkembang dalam industri ini. Itulah (teras) Lynas 2025 yang menyaksikan kami menggerakkan kapasiti tambahan sebanyak 50 peratus ke dalam operasi pengilangan,” katanya.

— BERNAMA





Source link

Related Posts