Artikel Terkini

Malaysia digesa timbang travel bubble bagi perjalanan perniagaan antarabangsa



KUALA LUMPUR: Penganjur acara perdagangan industri, Informa Markets menggesa kerajaan menimbang membuka semula sempadan bagi pengembara perniagaan dari negara-negara yang telah berjaya mengawal penularan pandemik COVID-19.

Pengarah Urusan Kumpulan Perniagaan ASEANnya M Gandhi berkata pelaksanaan ‘travel bubble’ bagi pengembara perniagaan antarabangsa akan membantu merangsang ekonomi Malaysia.

Menurutnya, pertumbuhan ekonomi Malaysia turun kepada 0.7 peratus pada suku pertama 2020 berbanding 4.5 peratus dalam suku yang sama tahun lepas apabila pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara terjejas oleh pandemik tersebut dan seterusnya oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Lebih awal kita boleh bawa kembali perdagangan antarabangsa ke Malaysia, lebih pantas kita akan pulih,” katanya kepada Bernama.

Istilah ‘travel bubble’ atau ‘travel corridor’ merujuk kepada perjanjian yang mana negara-negara yang berjaya membendung COVID-19 boleh membuka sempadan mereka kepada antara satu sama lain bagi membolehkan pergerakan bebas dalam ‘zon hijau’ tersebut.

Buat permulaan, katanya, ‘travel bubble’ perlu dihadkan kepada Korea Selatan, Taiwan, Jepun, China, Thailand, Singapura, Australia, Vietnam dan Hong Kong yang mempunyai bilangan kes baharu harian yang hampir sama.

Pada 2019, Malaysia menerima kira-kira 930,000 pengembara perniagaan — 60-70 peratus daripadanya adalah daripada negara yang disebut di atas, yang membawa perdagangan bernilai kira-kira RM1.2 trilion.

“‘Travel bubble’ ini boleh menjana ekonomi perdagangan secara perlahan-lahan, tetapi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat perlu dipatuhi.

“Pengembara perniagaan perlu memastikan mereka mengambil ujian (COVID-19) sebelum memasuki Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata kerajaan telah menerima cadangan bagi pelaksanaan ‘travel bubble’ dengan negara-negara jiran tetapi belum memuktamadkan keputusannya berhubung perkara itu.

Ini kerana, katanya, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum keputusan boleh dibuat.

Menurut Persatuan Penganjur dan Pembekal Konvensyen dan Pameran Malaysia (MACEOS), industri acara perniagaan Malaysia berkembang kukuh sejak beberapa tahun lepas.

Pada 2019, sejumlah 1,025 acara perniagaan dianjurkan, yang menarik lebih 540,000 pengembara perniagaan antarabangsa ke Malaysia.

Acara-acara ini menyumbang perbelanjaan langsung bernilai RM3.9 bilion kepada negara dan menjana impak ekonomi sebanyak RM9.2 bilion, kata MACEOS.

Kerajaan pada dasarnya telah meluluskan SOP bagi subsektor pelancongan untuk menyambung semula perniagaan.

Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini termasuk industri mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) serta festival perdagangan dan pelancongan dalam negara.

Gandhi berkata sebagai penganjur acara, Informa Markets bersedia untuk bermula dengan menumpukan hanya kepada pembeli dan penjual domestik sahaja.

“Bagaimanapun, seperti yang kami katakan, pembeli domestik mempunyai sumber yang terhad untuk membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi, oleh itu, kita perlukan pembeli antarabangsa untuk datang agar ekonomi kita boleh pulih dengan pantas,” katanya.

— BERNAMA





Source link

Related Posts