Uncategorized

Masih banyak PKS Malaysia kurang kesedaran digital


SAN DIEGO: Peralihan dunia ke era digital kini bermakna pelbagai trend baru akan memangkin pertumbuhan syarikat, penjanaan pekerjaan dan penciptaan peluang baru.

Ini termasuk teknologi jalur lebar mudah alih, pengkomputeran awan, analisis data besar (big data) dan Internet Of Things (IoT).

Dan kumpulan syarikat yang paling perlu menggarap semua teknologi ini adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang merupakan penentu besar hala tuju ekonomi negara kerana mereka mewakili 98.5 peratus daripada keseluruhan syarikat di Malaysia.

Tetapi hari ini, kebanyakan PKS tempatan masih berdepan isu-isu asas yang belum diselesaikan.

Menurut Naib Presiden Strategi Produk Veeam Software, Danny Allan, masih banyak PKS Malaysia belum membuka akses kepada produk mereka di atas talian.

Ditubuhkan pada 2006, Veeam Software adalah syarikat pengurusan data dan pengkomputeran awan yang berpangkalan di Switzerland, dan turut membuka cabang di Malaysia.

“Salah satu cabaran terbesar dalam digitalisasi PKS Malaysia adalah membuka akses kepada produk mereka di internet,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI di acara teknologi global Cisco Live! San Diego pada Selasa.

Tambahnya, tinjauan menunjukkan rakyat Malaysia sudah pun mempunyai kehadiran digital yang aktif dan sihat.

“Terdapat satu statistik yang menunjukkan setiap rakyat Malaysia mempunyai lebih daripada satu sambungan mudah alih. Ini bermakna terdapat penembusan dan akses yang besar kepada ekonomi digital.

“Hampir 80 peratus daripada penduduk mempunyai akses ke internet,” katanya.

Bagaimanapun katanya, penawaran produk PKS masih belum dapat menampung trafik digital ini.

“PKS pula, tidak semestinya mempunyai perkhidmatan atau produk mereka ditawarkan di atas talian.

“Oleh itu, walaupun Malaysia di tangga keempat di Asia (dalam skala digitalisasi), masih banyak yang mereka perlu lakukan, terutamanya pihak syarikat (PKS),” katanya.

Beliau berkata, Malaysia hanya di belakang Jepun, Korea Selatan dan Singapura dalam kebanyakan tinjauan yang meninjau perkembangan digitalisasi di Asia Pasifik.

Selain tunjang ekonomi negara, PKS perlu menjadi pemain utama dalam ekonomi digital Malaysia.

Pemerhatian Allan senada dengan Presiden Cisco ASEAN, Naveen Menon awal tahun ini ketika beliau ditemu bual Astro AWANI di Cisco Live! Melbourne pada Mac.

“Cabaran terbesar adalah masalah infrastruktur. Di kebanyakan negara Asia Tenggara, mereka masih menggunakan infrastruktur lama.

“Malangnya PKS hanya mahu menaik taraf infrastruktur siber mereka setelah mereka mengalami serangan siber, sedangkan penaiktarafan patut dilakukan sudah lama.

“Tetapi ketakutan serangan siber yang mendorong syarikat menukar kepada infrastruktur baru,” katanya.

Bagaimanapun kata Allan, beliau kekal optimistik dengan beberapa inisiatif yang dilakukan kerajaan untuk mencambah ekonomi digital tempatan.

“Sebagai contoh, Malaysia telah memperkenalkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), dan memberikan banyak insentif penguatkuasaan untuk usahawan digital,” katanya.

*Wartawan Astro AWANI, Luqman Hariz berada di San Diego, Amerika Syarikat untuk membuat liputan antara acara teknologi terbesar dunia, Cisco Live! dari 10 hingga 13 Jun 2019. Ikuti liputan beliau setiap hari di www.astroawani.com dan Saluran 501 Astro AWANI.





Source link

Related Posts