Artikel Terkini

MASkargo sambung semula penerbangan ke Amsterdam



KUALA LUMPUR: Selepas empat tahun terhenti, MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) menyambung semula perniagaan di Amsterdam, selepas penerbangan MH6162 mendarat di Lapangan Terbang Schipol Amsterdam kira-kira 10 pagi waktu tempatan pada Selasa.

Pesawat pengangkut A330 membawa lebih daripada 50 tan kargo am dan peralatan perubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Ibrahim Mohamed Salleh berkata syarikat penerbangan kargo itu merancang untuk membuat penerbangan mingguan mulai Mei.

“Selain menyediakan sambungan jarak jauh yang menyokong rangkaian penerbangan kargo serta penumpang (P2C), ia juga memberikan pelanggan akses yang lebih baik kepada pasaran Eropah.

“Keputusan untuk mengendalikan laluan ini secara sendiri membabitkan banyak kerja tetapi pasukan MASkargo dan Malaysia Airlines berjaya melakukannya dalam masa yang singkat, dan kami juga mempunyai pasukan yang hebat di Amsterdam yang dipimpin oleh Pengurus Jualan Wilayah Eropah kami, Keesjan de Vries, yang menyelaraskan urusan di sana bagi menjayakan penerbangan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ibrahim lagi, kali terakhir MASkargo membuat penerbangan ke Lapangan Terbang Schipol Amsterdam adalah pada Januari 2016.

“Dengan ketidaktentuan pasaran, inovasi dan berusaha untuk tidak menjadi konvensional adalah kunci bagi menyesuaikan diri dengan perubahan drastik dalam persekitaran perniagaan,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersil Mark Jason Thomas berkata, penerbangan P2C mencerminkan keupayaan syarikat itu.

“Kami akan terus melaksanakan idea inovatif bagi memastikan keperluan pelanggan kami dipenuhi,” kata beliau.

— BERNAMA





Source link

Related Posts