Uncategorized

Matrade anjur misi pacu eksport ke Uzbekistan, Kazakhstan



KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) telah memulakan Misi Peningkatan Eksport (EAM) ke Uzbekistan dan Kazakhstan bagi memperkukuhkan kehadiran syarikat-syarikat Malaysia di rantau Asia Tengah.

Misi yang bermula Isnin (14 Oktober) sehingga 19 Oktober, juga bertujuan meningkatkan hubungan strategik perniagaan antara syarikat-syarikat Malaysia dengan komuniti perniagaan di kedua-dua negara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Peningkatan Eksport) Matrade, Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata misi tersebut tepat pada masanya berikutan perkembangan pesat ekonomi yang dinikmati oleh wilayah tersebut.

“Selain itu, agenda pembaharuan ekonomi sedia ada serta impak daripada Inisiatif Jaluran dan Laluan China telah meningkatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) rantau itu, iklim perniagaan serta kepesatan ekonominya secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebanyak 18 syarikat Malaysia mewakili pelbagai sektor seperti makanan dan minuman, peranti perubatan, farmaseutikal, kosmetik, pembinaan dan perkhidmatan perniagaan menyertai EAM tersebut.

Mohd Mustafa berkata beberapa siri perbincangan meja bulan dan mesyuarat perniagaan kepada perniagaan akan diadakan bersempena misi itu.

Malah, Matrade akan turut mempromosikan acara Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2020 yang dijadualkan pada April tahun depan.

Beliau berkata produk dan perkhidmatan halal mempunyai potensi besar di Uzbekistan dan Kazakhstan berikutan bilangan penduduk Muslimnya yang ramai.

“Kami berharap kalangan pembeli di rantau ini akan memilih Malaysia dari segi mendapatkan bekalan halal dan menjadikan MIHAS sebagai platform itu,” katanya.

Bagi tempoh Januari sehingga Ogos 2019, jumlah perdagangan Malaysia dengan Uzbekistan meningkat 47.1 peratus kepada RM228.3 juta merangkumi eksport bernilai RM216.5 juta manakala import pada RM11.8 juta.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan Kazakhstan bagi tempoh sama pula berjumlah RM180.6 juta dengan nilai eksport RM170.2 juta dan import bernilai RM10.5 juta.

— BERNAMA





Source link

Related Posts