Uncategorized

Matrade sasar jualan RM639.66 juta pada CAEXPO 2019



NANNING: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyasarkan jualan bernilai RM639.66 juta pada Ekspo ASEAN China (CAEXPO) 2019 yang ke-16 di Nanning dari 21 hingga 24 September ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata sasaran itu diletakkan setelah mengambil kira perkembangan ekonomi global dan China yang agak perlahan berbanding tahun lepas.

“Kita juga perlu melihat kepada penyertaan 167 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mana 61.1 peratus daripada mereka adalah muka baharu di sini (CAEXPO 2019) dan tidak mempunyai pengalaman luas dalam mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka di pameran ini.

“Jadi mengambil kira faktor-faktor tersebut, kita tidak mahu meletakkan sasaran yang tinggi dan kalau boleh kita mahu mencapai nilai yang sama dicatatkan pada tahun lepas iaitu RM639.66 juta,” katanya ketika ditemui pemberita di Nanning, China, pada Khamis.

Wan Latiff turut menyatakan, padanan perniagaan juga menyasarkan jumlah yang sama seperti yang dicapai pada tahun lepas.

“Kita tidak tahu keadaan situasi semasa sekarang akan mempengaruhi jumlah pelawat ke CAEXPO 2019 secara keseluruhan tapi saya fikir jumlah pelawat tidak akan turun mendadak kerana kebanyakan mereka adalah dari negara China sendiri,” jelas beliau.

Sementara itu, Wan Latiff berkata CAEXPO 2019 dilihat sebagai strategi pasaran kedua dan ketiga untuk PKS tembusi kerana ia dibuat di bandar Nanning yang tidak begitu terkenal berbanding bandar seperti Beijing, Shang Hai dan yang lain.

Beliau berkata, strategi Matrade adalah dengan membawa syarikat PKS yang baharu dan memberi pendedahan kepada mereka tentang selok-belok untuk menembusi pasaran China.

“Bagi menembusi pasaran China tidaklah susah seperti pasaran Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan sebagainya yang meletakkan standard yang tinggi, malah dari segi jaraknnya juga agak jauh berbanding China.

“China juga merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dan kalau kita lihat penggunaan bahasanya, syarikat PKS kita mempunyai kelebihan walaupun dengan negara ASEAN yang lain.

“Selain itu, kami ada juga berkolaborasi dengan beberapa agensi perniagaan dari seluruh negeri bagi membangunkan PKS bukan sahaja di kawasan bandar, tetapi luar bandar serta Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Tambah beliau, Matrade juga melihat kepada pecahan kumpulan seperti golongan wanita, belia serta lokasi perniagaan supaya mereka dapat dibantu melalui program disediakan sepanjang CAEXPO 2019.





Source link

Related Posts