Uncategorized

MIDF naikkan saranan Astro kepada “beli”, tingkatkan harga sasaran kepada RM1.74



KUALA LUMPUR: MIDF Research hari ini menaikkan saranan bagi Astro Malaysia Holdings Bhd daripada ‘neutral’ kepada ‘beli’ dan menyemak semula harga sasarannya kepada RM1.74 daripada RM1.50 sesaham.

Ia juga menyemak semula dengan meningkat unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2020 dan tahun kewangan 2021 sebanyak 1.9 peratus dan 0.3 peratus tahun ke tahun masing-masing kepada RM626.7 juta dan RM633.2 juta, memandangkan potensi penjimatan kos dan kenaikan pendapatan daripada penamatan penyiaran Televisyen (TV) analog, yang boleh memanfaatkan Astro.

MIDF Research berkata purata pendapatan setiap pengguna (ARPU) bagi TV berbayar menunjukkan peningkatan dan melihat bahawa ia melalui penggunaan tinggi daripada platform Video On Demand (VOD) dan Over the Top (OTT) meskipun penurunan dalam hasil langganan TV berbayar.

“Kami juga melihat inisiatif rasionalisasi kos syarikat yang sedang dilaksanakan mampu menyokong momentum pendapatan pada masa hadapan.

“Kami percaya kos rendah itu disebabkan terutamanya fokus kumpulan kepada kandungan tempatan dan rasionalisasi tenaga kerja pada suku keempat 2019,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota hari ini.

Selain itu, ia berkata Astro terus mengukuhkan platform TV berbayar dan penstrimannya dengan kandungan premium yang lebih menarik menerusi kerjasama eksklusif dengan HBO Go and iQIYI.

“Kami melihat ini akan berfungsi sebagai faktor pembezaan utama bagi pengguna untuk memilih platform NJOI dan penstriman Astro berbanding MYTV semasa penamatan penyiaran TV analog yang dijangkakan pada suku ketiga 2019.

“Ditambah dengan penggabungan kandungan jalur lebar dengan Maxis, kami berpandangan ini akan membawa kepada pertumbuhan pendapatan bagi Astro pada masa depan,” kata MIDF Research.

BACA: ASTRO catat peningkatan PATAMI kepada RM176 juta bagi Q1FY20

Semalam, Astro mengumumkan keuntungan bersihnya berjumlah RM176.19 juta bagi suku pertama yang berakhir 30 April, 2019 hampir tidak berubah berbanding RM174.72 juta dalam suku yang sama setahun lalu.

Hasil bagi suku semasa sebanyak RM1.23 bilion adalah rendah sebanyak RM76.5 juta atau 5.8 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya pada RM1.31 bilion berikutan penurunan hasil langganan.

Sementara itu, pendapatan normalnya meningkat sedikit sebanyak 2.8 peratus kepada RM184.0 juta.

Pada 10.27, saham Astro tidak berubah pada RM1.51 dengan 236,200 unit bertukar tangan.

— BERNAMA





Source link

Related Posts