Artikel Terkini

MITC bakal tarik pelaburan RM500 juta syarikat multinasional



KUALA LUMPUR: Dewan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITC) bakal menarik pelaburan asing kira-kira RM500 juta menerusi syarikat multinasional usahasama MITC untuk melabur di negara ini dalam industri seperti minyak, tekstil, perladangan dan makanan.

Presidennya, Shah Said berkata, maklum balas daripada syarikat multinasional yang membentuk Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MITC menyifatkan, Malaysia sebagai lokasi yang begitu baik untuk menjalankan perniagaan dan akan terus menjadi negara penting bagi mereka untuk melabur.

“Dengan jumlah pelaburan sebesar itu, ia dijangka mencipta sebanyak 2,600 pekerjaan baharu bagi penduduk dan mengukuhkan ekonomi di negara ini.

“Tumpuan terhadap beberapa bidang juga perlu diberi perhatian supaya ia dapat mendatangkan manfaat kepada usahawan, kerajaan serta seluruh masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Shah Said berharap usaha yang digerakkan MITC berupaya menggalakkan lebih banyak kerjasama sektor ekonomi serta meningkatkan perdagangan dalam kalangan usahawan dari dalam dan luar negara.

“Tidak banyak negara yang boleh menyediakan keistimewaan seperti yang ada di negara ini termasuklah cuaca yang baik (tidak dilanda bencana alam); penggunaan bahasa Inggeris yang meluas dan kos sara hidup yang jauh lebih rendah berbanding negara lain.

“Selain itu, Malaysia juga mempunyai pelbagai kemudahan seperti sekolah antarabangsa. Ini menjadikan kehidupan di negara ini bukan sahaja lebih mudah untuk golongan expatriat tetapi juga keluarga mereka,” jelasnya.

MITC adalah organisasi bebas dan tidak berasaskan keuntungan. Ia berperanan mewakili lebih 138 syarikat menerusi dokumen MoU berhubung penyediaan perkhidmatan pengurusan teknikal dan fasiliti perniagaan.

Kebanyakannya terdiri daripada syarikat multinasional yang aktif beroperasi.

Dewan perniagaan itu juga berfungsi sebagai ‘Suara Komuniti Perdagangan Malaysia dan Antarabangsa’ untuk membantu syarikat dengan memberi input hal berkaitan dasar dan polisi kerajaan bagi memudahkan langkah usahawan luar negara memperluas pasaran dengan potensi yang ditawarkan MITC di negara ini.





Source link

Related Posts