Artikel Terkini

MITI perbaiki sistem permohonan syarikat untuk beroperasi – Azmin

61587091050 AzminAli - MITI perbaiki sistem permohonan syarikat untuk beroperasi - Azmin



51587091056 AzminAli - MITI perbaiki sistem permohonan syarikat untuk beroperasi - Azmin

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) telah menambah baik sistem dalam talian bagi permohonan sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga susulan rungutan yang diterima mengenai sistem itu.

Menterinya merangkap Menteri Kanan (Kluster Ekonomi) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata selepas penambahbaikan yang dilaksanakan dengan kerjasama Cyber Security Malaysia dan Telekom Malaysia, MITI telah menerima sejumlah 18,650 permohonan baharu pada hari pertama sistem berkenaan beroperasi.

“Ini satu jumlah yang besar jika dibandingkan dengan permohonan yang kita terima pada PKP fasa satu dan fasa dua, yang mana dalam tempoh enam hari kita hanya menerima permohonan sejumlah 12,360 yang kita proses.

“Ini membuktikan dengan sistem yang telah dinaik taraf ini, saya yakin ia sistem yang cukup berintegriti dan dapat memproses permohonan dengan lancar dalam tempoh ditetapkan,” katanya pada satu sidang media, di sini, pada Khamis.

Beliau menjelaskan masalah trafik yang begitu tinggi dalam tempoh dua jam pertama sistem itu dibuka pada 13 April lepas menyebabkan ia tidak dapat menampung jumlah kemasukan individu dan juga syarikat yang ingin membuat permohonan.

“Sebenarnya masalah yang kita hadapi pada hari pertama, permohonan bukan sahaja diterima daripada syarikat yang layak untuk mengemukakan permohonan tetapi juga individu. 50 peratus daripada permohonan untuk mencuba sistem ini adalah datang daripada individu,” katanya.

BACA: PKP: Langgar syarat MITI, kelulusan empat syarikat ditarik balik

Pada 10 April lepas, Mohamed Azmin mengumumkan syarikat dalam sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi boleh membuat permohonan kepada MITI bermula 13 April 2020 secara dalam talian di laman sesawang www.miti.gov.my.

Dalam pada itu, katanya, aplikasi yang menyenaraikan syarikat yang dibenarkan kelulusan beroperasi turut dikongsi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memudahkan operasi penguatkuasaan.

“Ini bagi memastikan hanya syarikat yang diberi kelulusan dengan pekerja dibenarkan untuk bekerja yang keluar,” katanya sambil menambah setiap pekerja diberikan surat kelulusan daripada MITI untuk keluar bekerja.

Selain itu, Mohamed Azmin berkata kementerian dan agensi lain turut membantu MITI dalam memproses permohonan beroperasi antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), SME Corp dan Bank Negara Malaysia.

— BERNAMA





Source link

Related Posts