Artikel Terkini

Moratorium dilanjut sehingga Disember, kali ini bersasar – PM



KUALA LUMPUR: Tempoh bayaran moratorium yang bakal berakhir pada September akan dilanjutkan sehingga Disember 2020.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan lanjutan moratorium tiga bulan bagi individu yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan impak daripada penularan pandemik COVID-19 dan yang selebihnya kerajaan akan melaksanakan pendekatan bersasar.

“Bagi individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun ini dan masih belum mendapat pekerjaan baharu, mereka akan menikmati moratorium lanjutan bersasar untuk tempoh tiga bulan,” katanya.

Muhyiddin berkata, selepas tiga bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu masing-masing.

“Keputusan ini dicapai selepas berbincang dengan Kementerian Kewangan dan Gabenor Bank Negara Malaysia,” katanya semasa Perutusan Khas Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar di Putrajaya pada Rabu.

Syarat-syarat buat individu atau PKS yang layak:

* Individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas akan menikmati bayaran ansuran bulanan selaras dengan kadar pengurangan gaji bergantung jenis pinjaman.

* Individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan akibat COVID-19, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman.

Contohnya, bagi pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan pengurangan gaji. Bantuan ini adalah untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan dan lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu berkenaan.

* Bagi pinjaman sewa beli pula, pihak bank telah menawarkan pilihan penjadualan ansuran bersesuaian tertakluk kepada Akta Sewa Beli.

Sehingga 20 Julai 2020, lebih 7.7 juta peminjam individu atau 93 peratus daripada kesemua peminjam telah mendapat manfaat daripada moratorium bayaran pinjaman yang bernilai RM38.3 bilion, menurut data Bank Negara.

Dalam tempoh yang sama, sejumlah 243,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau 95 peratus daripada keseluruhan peminjam PKS telah menerima manfaat daripada moratorium dengan nilai RM20.7 bilion.

Manakala jumlah peminjam individu yang meneruskan bayaran ansuran pinjaman dan tidak mengambil kemudahan moratorium meningkat kepada 331,000 peminjam pada April kepada 601,000 peminjam pada Julai.

Muhyiddin turut memberi jaminan memanjangkan tempoh bayaran balik pada kadar ansuran bulanan yang lebih rendah bakal memanfaatkan tiga juta individu dan PKS.

“Sekiranya lebih ramai memerlukan bantuan, institusi perbankan telah memberikan komitmen untuk mempertimbangkan bantuan yang sewajarnya,” katanya.

Justeru, peminjam yang layak boleh menghubungi bank masing-masing bagi membuat permohonan itu mulai 7 Ogos ini.

“Dengan pengumuman ini, saya harap Makcik Kiah, Pak Salleh, Encik Lee, Puan Rani, Encik Douglas dan semua rakyat Malaysia dapat menarik sedikit nafas lega sementara kerajaan dan pihak industri berusaha untuk memulihkan semula ekonomi negara kita,” katanya lagi.





Source link

Related Posts