Uncategorized

Multi Level Marketing Dan Manipulasi Skim Cepat Kaya


Bila sebut Multi Level Marketing (MLM), ramai yang akan membayangkan skim-skim cepat kaya mahu pun skim-skim penipuan bersiri. Hakikatnya MLM adalah model perniagaan yang SAH di Malaysia.

“Eh, biar betul MLM ni legal dekat Malaysia?”

Multi Level Marketing (MLM) ni dalam Bahasa Melayu dipanggil sebagai Pemasaran Bertingkat. Ia adalah  sebuah strategi pemasaran secara jualan langsung yang digunakan untuk menggalakkan pengedar sedia ada untuk merekrut pengedar baru yang dibayar peratusan jualan rekrut mereka.

Orang yang direkrut digelar ‘dowline’ manakala orang yang merekrut di panggil ‘upline’.

Bagi setiap jualan yang dilakukan, sebahagian keuntungan akan diberikan kepada penjual di dalam bentuk komisyen. Dalam bahasa mudahnya ‘upah’. Ada upah berbentuk jualan peribadi dan ada dalam bentuk jualan kumpulan.

MLM adalah sebuah strategi perniagaan yang sah. Bukan saja di Malaysia, tetapi seluruh dunia. Produk-produk ternama seperti Mary Kay, Shaklee, Herbalife, Avon dan Amway adalah merupakan syarikat yang menggunakan strategi jualan langsung MLM dalam memasarkan produk-produk mereka.

Ia berbeza dengan teknik pemasaran tradisional, di mana pemborong membeli barang daripada pengilang dan seterusnya menjual pula kepada pengguna secara kos produk ditambah keuntungan yang mahu diambil.

Manipulasi Skim Cepat Kaya

Walaupun MLM adalah satu teknik pemasaran yang sah, ia mudah dimanipulasikan bagi membentuk skim-skim cepat kaya atau skim penipuan kerana struktur komisyen nya dan pembentukan kumpulan (rekrut) downline.

Jika MLM menjual produk, mereka menjual janji atau pulangan pelaburan. Inilah yang digunakan oleh scammer seperti Pak Man Telo.

Seandainya mahu berjaya dalam skim-skim tersebut, kita perlu melabur dalam jumlah yang besar. Selepas melabur, mereka perlu mencari pelabur baru tanpa perlu menjual apa-apa.

Berbeza dengan MLM yang sah, di mana modal permulaan yang kecil (tak sampai ribu), dan seandainya mahu berjaya perlu menjual produk-produk untuk memperolehi pendapatan dari komisyen hasil jualan. Kalau tak menjual, maka tiadalah komisyen pendapatan.

Namun ada sebahagian scammer yang pandai mengatakan mereka menjual produk seperti kopi, minuman kolagen, gamat dan terkini platform e-dagang (e-commerce).

Hakikatnya itu adalah satu bentuk penyamaran kerana bila ditanya lebih lanjut, mereka mengatakan pelabur tak perlu menjual. Mereka yang akan tolong jualkan. Pelabur hanya perlu mencari pelabur baru saja.

Hakikatnya, wang-wang pelaburan yang pelabur awal perolehi, adalah dari hanya sebahagian kecil wang pelabur downline mereka. Bukan keuntungan pelaburan/perniagaan pun seperti yang dicanangkan.

Manakala sebahagian besar wang itu diambil oleh scammer. Inilah yang dipanggil manipulasi wang (money game).

Akta Jualan Langsung Dan Skim Anti-Piramid 1993

Oleh kerana sistem Multi Level Marketing ini banyak dimanipulasikan oleh scammer-scammer, kerajaan Malaysia telah menggubal Akta Jualan Langsung Dan Skim Anti-Piramid 1993

Melalui akta ini, mana-mana individu/syarikat yang mahu membuat jualan atau promosi secara jualan langsung/MLM, perlu memperolehi lesen AJL daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna. Menawarkan satu skim MLM tanpa memperolehi Lesen AJL adalah merupakan satu kesalahan.

Kesimpulannya, teliti terlebih dahulu apabila kita ditawarkan sesuatu skim berbentuk MLM. Bukan terus mengatakan ia adalah scam. Cuba cari fokus utama skim tersebut.

Adakah dengan menjual barang atau mencari downline? Sekiranya fokus utama mencari downline, berhati-hatilah dengan skim tersebut walaupun mereka beri alasan yang mereka jual barang.

Sebaik mungkin, semak dengan pihak berkuasa. Jika MLM, semak dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna. Bila melibatkan pelaburan, semak dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Labuan Financial Services Authority (Labuan FSA).

Ditulis oleh Hanif Yahaya. Seorang perancang kewangan dan penasihat kewangan yang berlesen daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM). Beliau juga adalah pelajar terbaik Shariah Registered Financial Planner (ShRFP). Berpengalaman memberi khidmat nasihat kewangan individu dan korporat. Boleh hubungi beliau di drhanifyahaya@yahoo.com

Jemput baca juga 4 Ciri-Ciri ‘Pelaburan’ Scam – Melayu Mudah Lupa. Semoga kita dijauhkan daripada terlibat dalam skim-skim haram jadah ini.

Komen

komen





Source link