Artikel Terkini

Musyarakah, Sejenis Kontrak Pelaburan Shariah


Musyarakah adalah salah satu bentuk kontrak dalam kewangan Islam di mana konsep perkongsian aset, modal, untung dan rugi dilaksanakan.

Kontrak Musyarakah adalah satu perjanjian kerjasama di antara dua pihak atau lebih, untuk suatu usaha tertentu di mana masing-masing akan berkongsi keuntungan dan kerugian bersama-sama.

Aplikasi Musyarakah

Terdapat dua kategori Musyarakah yang terdapat di dalam industri kewangan Islam.

1. Shirkah Al-Milk yang bermaksud Pemilikan Bersama

Ia merujuk kepada pemilikan satu aset oleh dua atau lebih pihak dengan pengurusan aset itu hendaklah mendapat persetujuan bersama.

Contoh aplikasi kategori Musyarakah ini adalah seperti yang ditawarkan oleh RHB Islamic Bank (RHBIB) melalui produk ‘Equity Home Financing-i with Redraw’ untuk  pembiayaan perumahan.

Kontrak produk ini adalah Musyarakah Mutanaqisah dan Mutanaqisah di sini bermaksud penyusutan.

Proses produk ini secara ringkasnya adalah seperti berikut:

  1. Ahmad membeli rumah bernilai 1 juta dan membayar duit muka sebanyak 10 ribu (10%) kepada pemaju.
  2. Pelanggan memohon pembiayaan Musyarakah Mutanaqisah daripada pihak RHBIB. RHBIB akan membayar baki 90 ribu (90%) kepada pemaju. Dalam konsep ini RHBIB menjadi pemilik bersama rumah ini dengan Ahmad.
  3. RHBIB yang mempunyai 90% milikan daripada rumah dan Ahmad 10% pemilikan kemudiannya menandatangai kontrak sewaan di mana Ahmad bersetuju menyewa rumah dan membayar sewa secara bulanan sepanjang tempoh yang telah dipersetujui bersama.
  4. Sepanjang tempoh yang telah dipersetujui, peratus milikan bank terhadap aset akan menyusut dari semasa ke semasa manakala peratus pemilikan Ahmad akan meningkat. Tempoh tamat perjanjian adalah apabila Ahmad mendapat pemilikan penuh 100% terhadap rumah tersebut.

Info lanjut mengenai produk ini: https://www.rhbbank.com.sg/files/islamic/financing/property-financing/pds-for-equity-home-financing-i-with-redraw.pdf

2. Shirkah Al-‘Aqd yang bermaksud Perkongsian Kontrak

Ini merujuk kepada kontrak pelaburan di antara dua pihak atau lebih dengan perkongsian keuntungan dan kerugian.

Kadar keuntungan adalah mengikut peratusan yang dipersetujui antara
semua pihak manakala kerugian dibahagikan mengikut peratusan modal yang
dilaburkan oleh setiap pihak.

Contoh aplikasi kategori Musyarakah ini adalah seperti yang ditawarkan COOP Bank melalui produk Saham Keutamaan Islamik atau Islamic Redeemable Convertible Preference Shares (iRCPS).

Melalui iRCPS, orang ramai berpeluang terlibat sama dalam aktiviti
perniagaan COOP Bank dengan memberi modal melalui pembelian iRCPS dan mendapat
perkongsian untung sehingga 6% secara tahunan. 

Jumlah pelaburan bagi iRCPS sehingga 2017 telah mencecah RM348 juta, yang melibatkan 77,000 pelabur individu dan 530 koperasi. Pembelian iRCPS ini boleh dibuat di 20 cawangan COOP Bank di seluruh negara.

Pemilikan iRCPS bersifat kekal, namun boleh ditebus oleh pemegang
iRCPS selepas lima tahun, di mana pemiliknya diberi pilihan sama ada mahu
menebusnya dengan tunai atau menukarkannya kepada saham biasa COOP Bank.

Info lanjut mengenai produk ini: https://www.cbp.com.my/terma-syarat-saham-keutamaan-islamik-ircps

Contoh lain aplikasi kontrak ini adalah pada pemilikan saham di mana pelabur menjadi pemilik saham syarikat-syarikat di Bursa Malaysia contohnya dan keuntungan syarikat itu akan dibahagikan di antara setiap pemegang saham setiap kali keuntungan syarikat diumumkan secara berkala.

Dalam keadaan syarikat diisytihar bankrap dan terpaksa menghentikan aktiviti perniagaan, aset syarikat itu akan dicairkan dan hasilnya akan dibahagikan mengikut pemilikan saham masing-masing.

Di peringkat pengawalselia industri perbankan dan Takaful, pihak Bank Negara Malaysia mengeluarkan garis panduan Musyarakah sebagai rujukan kepada industri. Ia menggariskan syarat-syarat serta mekanisme pengurusan kontrak Musyarakah oleh pihak kewangan Islam.

Sila rujuk: http://sacbnm.org/wp-content/uploads/2017/11/Musyarakah.pdf

Selain daripada produk perbankan, kontrak Musyarakah juga turut diaplikasikan secara meluas dalam membuat struktur Sukuk.

Ditulis oleh Arham Merican, pegawai Shariah di salah sebuah bank Islam antarabangsa dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus pada pemberdayaan modal insan.

Jemput baca juga:



Source link